
Timbalan Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bank Negara Malaysia (BNM) diberi tanggungjawab untuk melihat kaedah dan mencari remedi bagi memulihkan nilai ringgit yang mengalami kemerosotan kebelakangan ini, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Kewangan I itu berkata, BNM diyakini mempunyai strategi untuk mengekang kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar yang dihadapi ketika ini susulan permintaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan had siling hutang negara.
“Saya serahkan kepada Bank Negara kerana yakin mereka lebih arif sekiranya ada strategi,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Mat Maslan terdahulu menghadiri majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kompleks Kementerian Kewangan, dekat sini pada Jumaat.
Beliau berkata, ringgit berada pada kadar RM4.63 berbanding AS$1 pada situasi sekarang diharap tidak akan berlanjutan.
“Saya harap fenomena ini bersifat sementara dan ringgit kembali lebih stabil pada kadar munasabah,” katanya.
Ujar Ahmad, disebalik kelemahan ringgit terdapat kebaikan yang perlu direbut oleh semua pihak antaranya dengan merancakkan sektor eksport dan pertambahan bilangan pelancong asing ke negara ini.
“Ini kerana mereka mempunyai ringgit yang lebih selepas membuat pertukaran cuma kita khuatir sektor import menjadi lebih mahal dan meningkatkan kadar inflasi negara selain turut membebankan pelajar di luar negara,” katanya.
Ditanya adakah situasi tersebut akan menyebabkan mata kadar dasar semalaman (OPR), Ahmad berkata ia terpulang kepada Bank Negara.
Ringgit kekal di bawah tekanan ketika hasil pebincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) terus mencetuskan ketidaktentuan yang ketara.
Setakat jam 9 pagi ini, ringgit susut kepada 4.6280/6305 berbanding dolar AS daripada 4.6245/6285 pada akhir urus niaga semalam yang mencatat paras terendah dalam tempoh enam bulan.