
Ringgit menyusut.
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ekoran kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi China selepas tanpa dijangka negara itu mengurangkan kadar faedah pada Isnin apabila ia melaporkan angka pengeluaran perindustrian dan jualan runcit yang lebih lemah daripada jangkaan.
Pada jam 6 petang, ringgit susut ke paras 4.4570/4595 berbanding dolar AS daripada 4.4435/4455 pada akhir urus niaga Jumaat lepas, lapor Bernama.
Seorang peniaga berkata bahawa yuan, yang mana ringgit mempunyai korelasi yang kukuh, juga berada di bawah tekanan selepas Bank Rakyat China (PBC) mengurangkan kadar faedah utamanya untuk kali pertama sejak Januari, mengurangkan kemudahan pinjaman jangka sederhana setahun sebanyak 10 mata asas kepada 2.75 peratus.
“Turut dilaporkan ialah kadar pengangguran di China bagi mereka yang berumur antara 16-24 tahun melonjak kepada 19.9 peratus pada Julai berbanding 19.3 peratus pada bulan sebelumnya, satu rekod tertinggi baharu.
“Selain itu, kebimbangan terhadap sekatan pergerakan akibat COVID-19 di China masih berterusan,” kata peniaga itu kepada Bernama.
Dalam pasaran minyak pula, harga terus menurun berikutan langkah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menurunkan unjuran permintaan minyak untuk 2022.
Minyak mentah Brent susut kepada US$93.80 setong, jatuh US$4.35 dan minyak mentah piawaian Amerika, West Texas Intermediate (WTI) turun US$88.06 setong, jatuh US$4.03.
Sementara itu, ringgit kebanyakannya ditutup lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2379/2402 daripada 3.2406/2428 pada penutup Jumaat, naik berbanding pound kepada 5.3796/3826 daripada 5.3975/3999 dan melonjak berbanding euro kepada 4.5488/5514 daripada 4.5759/5780.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.3393/3415 daripada 3.3292/3310 sebelum ini.