Kehadiran Najib di majlis bantuan MAIM dipertikai

Kehadiran ketua kempen UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Najib Razak pada acara anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menimbulkan persoalan ramai pihak.

Majlis yang difahamkan diadakan semalam bertujuan menyerahkan sumbangan bantuan one-off MAIM sebanyak RM350 kepada peniaga di kawasan Masjid Tanah.

Malah, ramai pihak menegur MAIM kerana membiarkan agensi agama Islam itu diperalatkan untuk tujuan politik, khususnya menjelang PRN Melaka.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tetapi Najib juga turut berucap. Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pada majlis itu juga bendera UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut dipasang di dalam dewan seolah-olah ia adalah perhimpunan politik dan kempen PRN Melaka.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari turut mempersoalkan penganjuran program itu yang turut dihadiri Najib.

Bekas Ketua Menteri Melaka ketika pentadbiran PH itu tidak membantah, sebaliknya mengalu-alukan bantuan kepada peniaga, namun beliau menolak majlis anjuran MAIM dijadikan agenda dan alat politik.

Bagaimanapun, penggunaan agensi dan jabatan kerajaan menjelang mana-mana pilihan raya telah menjadi satu amalan biasa, khususnya sepanjang pemerintahan UMNO dan BN sebelum ini.

Tentera siber blok pembangkang turut menyerang MAIM kerana menjemput Najib berucap pada majlis itu, selain mengaitkan Najib dengan hukuman yang dijatuhkan mahkamah terhadapnya atas beberapa tuduhan jenayah rasuah dan penyelewengan.

BERITA BERKAIT
POPULAR