
ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya.
Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap keputusan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, hari ini.
Keputusan yang dibuat hari ini menunjukkan sistem perundangan Malaysia yang adil, kata Setiausaha Pertama Kedutaan Indonesia, Junjungan Sigalingging.
“Kami berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, keputusan itu menunjukkan bahawa sistem perundangan Malaysia mampu membawa keadilan.
“Hari ini kita bersyukur kepada tuhan yang maha kuasa, kita sangat menghargai hakim Mahkamah Tinggi yang menunjukkan kebijaksanaan dan keadilan dalam mengendalikan kes ini,” katanya dipetik laporan BH.
Menurutnya, perbicaraan kes pembantu rumah berkenaan dipantau dengan teliti oleh kerajaan dan rakyat Indonesia.
“Kami mempunyai harapan yang tinggi bahawa perbicaraan boleh membawa pelaku ke muka pengadilan.
“Dari awal perbicaraan di Mahkamah Sesyen kemudian berpindah ke Mahkamah Tinggi, kerajaan Indonesia yang diwakili oleh Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memberi perhatian kepada kes ini kerana mangsa adalah seorang warga Indonesia,” katanya.
Yong, 51, yang juga Bendahari Parti Bangsa Malaysia (PBM) dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Yong berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini, mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu memasukkan penyataan pembelaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, pada 6 Disember lalu.