Kedah, Perak catat 14 kematian

Tujuh puluh satu pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam (Ahad, 20 Mac 2022), termasuk 26 kematian di luar fasiliti kesihatan sebelum dibawa ke hospital atau kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah kematian terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak dua kematian pertama disebabkan Covid-19 dilaporkan pada 17 Mac 2020 lalu, meningkat kepada 34,400 kes, termasuk 7,225 kes BID.

Bagaimanapun, tiada maklumat sama ada 26 kematian di luar fasiliti kesihatan yang dilaporkan semalam turut melibatkan 264,985 pesakit positif Covid-19 yang diarah menjalani kuarantin di rumah kerana tidak menunjukkan gejala atau tidak memerlukan rawatan intensif.

Data laman sesawang CovidNOW hari ini menunjukkan Kedah dan Perak masing-masing merekodkan kematian tertinggi membabitkan 14 kes, dan Johor (11 kes).

Selangor pula mencatat tujuh kes kematian diikuti masing-masing lima kes di Kelantan, Pulau Pinang serta Sarawak; Negeri Sembilan (empat); masing-masing dua di Terengganu serta Kuala Lumpur; dan masing-masing satu di Melaka, dan Pahang.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Perlis, Sabah, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Sehingga semalam, Kedah mencatat kumulatif positif sebanyak 281,572 kes, dengan 257,455 pesakit telah pulih, 2,496 kes kematian, dan 21,621 kes aktif.

Seramai 21,016 pesakit di Kedah kini menjalani kuarantin di rumah; 105 ditempatkan di PKRC; 463 dimasukkan ke hospital; dan 37 pesakit dirawat di unit rawtaan rapi (ICU), dengan 13 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Perak pula mencatat kumulatif positif sebanyak 178,795 kes, dengan 163,760 pesakit pulih, 1,732 kematian, dan 13,303 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 12,534 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 65 ditempatkan di PKRC; 678 dimasukkan ke hospital; dan 26 pesakit dirawat di ICU, dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 20 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR