Kedah larang solat sunat Aidilfitri di masjid, surau zon merah

JHAEIK membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan di zon hijau, kuning dan jingga mengikut kaedah ketetapan solat Jumaat.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) melarang aktiviti khas, termasuk solat sunat Aidilfitri di semua surau dan masjid di seluruh daerah yang disenaraikan sebagai zon merah.

Lima daerah diletakkan dalam zon merah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Sabtu hingga 14 Mei ini ialah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Pengarah JHEAIK, Mohd Yusri Md Daud berkata, aktiviti berkenaan termasuk majlis berbuka puasa, dolat Tarawih, moreh dan tadarus al-Quran serta program qiamullail.

“Program keagamaan dan majlis ilmu serta aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti jamuan, kenduri, gotong-royong dan sebagainya di masjid dan surau juga tidak dibenarkan.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di zon merah juga tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan di rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bagi solat Jumaat di zon merah, hanya 50 jemaah dibenarkan tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan 20 jemaah bagi solat fardu berjemaah yang hanya dibenarkan kepada pegawai dan jawatankuasa masjid atau surau serta anak kariah.

“Solat jenazah bagi zon merah dibenarkan dan tidak melebihi 20 orang dengan penjarakan fizikal, terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga si mati sahaja.

“Masjid dan surau hendaklah ditutup setelah selesai solat Jumaat, fardu dan Tarawih. Solat Tarawih dihadkan masa sehingga 10.30 malam sahaja. Program berbuka puasa, moreh, sahur pula boleh dilaksanakan dengan kaedah edaran makanan yang telah siap dibungkus dan jamuan di dalam kawasan premis masjid dan surau tidak dibenarkan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, solat sunat Aidilfitri dibenarkan diadakan di zon hijau, kuning dan jingga mengikut kaedah ketetapan solat Jumaat.

Mohd Yusri menjelaskan mana-mana masjid dan surau yang didapati telah dihadiri oleh jemaah yang positif Covid-19, hendaklah ditutup sepenuhnya dan dilakukan proses sanitasi dan disinfeksi secara keseluruhan, serta dibuka semula tujuh hari selepas proses tersebut dilakukan.

POPULAR