
Petugas Kementerian Kesihatan membantu pelancong ke Langkawi membuat ujian pengesanan Covid-19 di KLIA. - Gambar kredit KKM
Setelah menunggu lama dan hanya melihat negeri lain beralih fasa demi fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), penduduk Kedah akhirnya lega apabila negeri itu akan beralih ke Fasa Dua PPN mulai Jumaat ini.
Peralihan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serentak dengan pengumuman Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka beralih ke Fasa Tiga mulai hari sama.
Pengumuman hari ini, menyaksikan kini tiada lagi negeri di seluruh negara yang berada dalam Fasa Satu PPN.
Hari ini Kedah merekodkan 652 jangkitan baharu, turun berbanding 819 kes semalam, dengan 12,002 kes masih aktif. Sehingga semalam juga seramai 422 pesakit dirawat di hospital seluruh negeri itu, termasuk 81 kes di unit rawatan rapi (ICU).
Pada 16 September lalu, kerajaan juga bersetuju membenarkan daerah Langkawi di Kedah dibuka semula menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi.
Ismail Sabri berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri berkenaan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikut adalah senarai negeri mengikut fasa masing-masing:
Negeri Fasa Dua PPN – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah;
Negeri Fasa Tiga PPN – Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak; dan
Negeri Fasa Empat PPN – Negeri Sembilan dan Labuan.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 berkata setakat ini Malaysia terus merekodkan trend menurun bagi kadar kebolehjangkitan (R-naught) Covid-19.
Katanya semalam, R-naught bagi seluruh negara mencatatkan nilai 0.88 dan kemasukan pesakit Covid-19 ke ICU juga menunjukkan trend penurunan.
“Berdasarkan R-naught yang masih kekal di bawah nilai 1.0, kerajaan yakin unjuran harian kes baharu jangkitan Covid-19 akan terus mencatatkan trend penurunan dengan kerjasama Keluarga Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) meskipun jumlah kes jangkitan harian Covid-19 menunjukkan ketidaktentuan,” katanya.
Ismail Sabri berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merekodkan kadar 85.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin setakat semalam.
Beliau berkata, PICK Remaja juga mendapat sambutan menggalakkan apabila sehingga kini mencatatkan 1,217,386 dos vaksin diberikan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun.
“Perkembangan ini selari dengan matlamat kerajaan yang mahu seramai mungkin pelajar menerima vaksinasi lengkap menjelang pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula Oktober depan,” katanya.
Bagi pergerakan rentas negeri, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membenarkannya apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus, seperti yang diumumkan beliau pada 22 September lalu.
Kerajaan juga akan mempertimbangkan lebih banyak sektor ekonomi untuk kembali beroperasi seperti biasa bagi membolehkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah ia ditutup sejak sekian lama, katanya.