Kedah: Jumlah kes kritikal, hospital semakin tenat

Sesuai dengan lonjakan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat dan kritikal di Kedah sejak kebelakangan ini, hospital di negeri itu juga dilaporkan dalam keadaan tenat bagi menampung jumlah pesakit.

Dua hospital di Kedah – Hospital Kulim (HK) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani – mencapai kapasiti maksimum susulan lonjakan jumlah jangkitan positif Covid-19 di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Semalam sahaja, Kedah merekodkan jumlah positif pada paras tertinggi sejak individu pertama dikesan dijangkiti Covid-19 di negeri itu pada Mac tahun lalu, iaitu sebanyak 937 kes.

Lonjakan harian jangkitan Covid-19 di Kedah bermula 8 Julai apabila 360 kes positif dilaporkan, berbanding 198 kes sehari sebelumnya.

Angka itu kemudian melonjak hari demi hari sehinggalah yang tertinggi terakhir direkodkan pada 21 Julai lalu sebanyak 800 kes, sebelum ianya sekali lagi naik kepada 937 kes semalam.

Sehingga semalam, Kuala Muda mencatatkan jumlah kes aktif tertinggi iaitu 3,745 diikuti Kulim dengan jumlah kes aktif sebanyak 1,430.

Lonjakan itu berlaku – sebagaimana dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo – berpunca daripada kurang pematuhan terhadap prosedur operasi standard ditetapkan.

Keadaan itu secara umumnya menyebabkan wad di hospital kerajaan di Kedah mula penuh, malah dilaporkan ketika ini telah melebihi 75 peratus daripada kapasiti yang mampu ditampung.

Ini diakui Dr Othman yang memaklumkan HK dan HSAH mencatatkan jumlah pesakit yang paling ramai.

Memetik Utusan beliau dilaporkan berkata keadaan itu sekali gus menyebabkan kemudahan untuk pesakit Covid-19 di kedua-dua hospital berkenaan hampir mencapai kapasiti maksimum.

“Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kulim memang sudah mencecah 100 peratus manakala wad Covid-19 juga sudah hampir mencecah 100 peratus, begitu juga Hospital Sultan Abdul Halim,” katanya.

Disebabkan keadaan itu, ada beberapa kes yang dirujuk di HK terpaksa dihantar ke hospital di daerah lain yang masih mampu menampung jumlah pesakit, katanya.

Antaranya ialah di Hospital Sik dan Baling, sementara keadaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pula sehingga kini masih terkawal namun persediaan dilakukan untuk pesakit di kawasan di sebelah utara Kedah.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati pula memberi jaminan kerajaan akan menambah bilangan katil di hospital terlibat selain Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi menampung bilangan pesakit selepas ini.

“Apabila HSAH penuh, kita akan hantar pesakit Covid-19 ke Hospital Kulim, Baling dan Sik. Namun tiga hospital itu agak kecil dan saiznya tidak sama seperti HSAH atau HSB menyebabkannya cepat penuh,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR