Kedah catat 15 kematian semalam

Seramai 76 pesakit Covid-19 meninggal dunia semalam (11 Mac 2022), meningkat berbanding 70 kes pada Khamis, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah itu termasuk 21 kes kematian di luar fasiliti perubatan atau ’brought in death’ (BID), namun tidak dapat dipastikan sama ada kes itu turut melibatkan kalangan 310,351 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah.

Keseluruhannya sejak awal 2020 lalu hingga semalam, seramai 33,643 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, termasuk 6,995 kes yang melibatkan BID.

Tiga negeri mencatat kes kematian tertinggi semalam membabitkan Kedah sebanyak 15 kes, diikuti Selangor (14 kes), dan Perak (10 kes).

Sementara itu, lapan kematian direkodkan di Johor diikuti, masing-masing lima kes di Negeri Sembilan serta Sabah; Kuala Lumpur (empat); masing-masing tiga kes di Perlis serta Pulau Pinang; masing-masing dua di Kelantan, Melaka, Pahang serta Sarawak; dan satu kes di Terengganu.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Labuan dan Putrajaya semalam.

Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan sehingga semalam, Kedah merekodkan 264,230 kumulatif positif, dengan 231,090 pesakit telah sembuh, 30,747 kes aktif, dan 2,393 kes kematian.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 29,975 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 171 ditempatkan di PKRC; 549 dimasukkan ke hospital; dan 52 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 30 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 11 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR