Keanggotaan menteri dalam MPN bukan atas kapasiti parti

Ahli politik yang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertindak atas kapasiti mereka sebagai menteri, bukannya sebagai ketua bahagian atau ketua cawangan parti.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad menjelaskan keahlian menteri di dalam majlis itu kerana mereka yang akan melaksanakan segala keputusan dibuat MPN.

Beliau mengingatkan mengenai kuasa eksekutif Persekutuan memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong dan boleh dilaksanakan oleh baginda atau Jemaah Menteri menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Perjalananan pentadbiran harian kerajaan dilaksanakan oleh Jemaah Menteri. Jadi apabila MPN membuat apa-apa keputusan, keputusan itu hendaklah dilaksanakan oleh Menteri dan kementerian yang bertanggungjawab.

“Maka wajiblah Menteri yang berkenaan menjadi anggota tetap MPN atau hadir atas jemputan dalam mana-mana mesyuarat MPN apabila perkara yang berkaitan dengan kementeriannya dibincang dalam mesyuarat MPN,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan pihak tertentu supaya MPN dianggotai hanya kumpulan profesional, sementara ahli politik tidak boleh menganggotainya.

Dr Marzuki turut menjelaskan pada mesyuarat MPN dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, terdapat satu cadangan dikemukakan menteri dan dua lagi oleh kumpulan profesional yang menganggotai MPN.

“Ketiga-tiga kertas ini dibincang dan dibahas oleh semua anggota yang hadir, termasuk oleh kumpulan pakar dan professional. Perdana Menteri dan menteri-menteri banyak mendengar pandangan kumpulan pakar dari pelbagai bidang dalam membuat keputusan dan rumusan.

“Banyak idea yang disampaikan oleh mereka mengenai usaha menangani pandemik, vaksinasi, bantuan kepada golongan yang terjejas, pembukaan sektor ekonomi, sosial, dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata pandangan yang disampaikan oleh kumpulan profesional itu menjadi sebahagian daripada keputusan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Bayangkan jika MPN ini hanya dianggotai oleh kumpulan pakar dan profesional sahaja tanpa melibatkan Perdana Menteri dan Menteri? Siapa yang nak melaksanakan segala pandangan yang disampaikan dan keputusan yang dibuat?

“Ya, majlis itu boleh berbincang dan berbahas mengenai macam-macam perkara, tetapi ke mana nak dibawa pandangan-pandangan itu untuk dilaksanakan? Bukankah kepada kerajaan juga akhirnya?,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR