
Seorang penduduk Kampung Jawa, Chaah di Segamat, Azizah Bani, merakamkan video dari atas bumbung rumahnya yang dinaiki banjir (1 Mac 2023).
Selepas hujan lebat dua hari melanda negara, keadaan banjir di beberapa negeri seluruh negara semakin memburuk dengan jumlah mangsa semakin meningkat dan dipindahkan tempat selamat.
Lebih 20,000 mangsa banjir dilaporkan media sudah dipindahkan, malah terdapat laporan mangsa dikhuatiri lemas dan beberapa jalan negeri yang ditutup ekoran air yang melimpah.
Di Pahang, seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Pasir, Kampung Seri Makmur di Chini, Pekan dekat sini, semalam menurut laporan Bernama.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Wan Samsul Effendi Wan Mahmud menerusi kenyataan hari ini berkata mangsa, Muhammad Hafizhan Abd Zaib, 10, dipercayai hilang pada 2.50 petang.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang bermula petang semalam turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan selain dibantu orang awam melibatkan kawasan sejauh 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Katanya operasi bersambung pagi ini, selepas ditangguhkan pada 11 malam tadi ekoran keadaan cuaca dan persekitaran yang gelap.
Sementara itu, laluan Kilometer 73 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan ditutup sepenuhnya hari ini, ekoran mendapan yang berlaku akibat hujan lebat berterusan semalam.
Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi memaklumkan penutupan jalan adalah sehingga kerja pembaikan selesai.
“Penutupan jalan dibuat selepas mendapatkan penilaian keselamatan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan dan orang ramai dinasihatkan mematuhi tanda arahan yang dipasang di laluan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Bagi laluan alternatif, pengguna jalan raya dari arah Kuantan akan dilencongkan di lampu isyarat Paloh Hinai ke Jalan Batu Balik ke Pekan.
Pengguna dari Segamat pula akan dilencongkan di Muadzam Shah ke Leban Condong di Rompin sebelum ke Nenasi di Pekan.
Pengguna jalan raya boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan bagi mendapatkan maklumat terkini di talian 09-4221 999.