KDNK 2022 diunjur berkembang 5.3 hingga 6.3 peratus: Kajian EMR 2021

March 30, 2022 · Isu semasa

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus bertambah baik dengan berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada tahun 2022, meningkat daripada pertumbuhan 3.1 peratus pada 2021.

Ini akan disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan luar, penarikan balik sepenuhnya langkah-langkah pembendungan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan keadaan pasaran buruh/tenaga kerja yang semakin baik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

“Selain itu, pelaksanaan projek-projek pelaburan dan langkah dasar yang disasarkan akan memberikan sokongan seterusnya kepada aktiviti ekonomi dan permintaan agregat,” kata bank pusat itu dalam laporan Kajian Ekonomi dan Kewangan 2021 (EMR 2021) yang dikeluarkan pada Rabu.

Memetik Bernama, BNM berkata pemulihan sektor swasta yang lebih kukuh, disokong oleh penambahbaikan pasaran buruh/tenaga kerja akan menjadi pemacu pertumbuhan utama pada 2022.

Kadar Pengangguran dijangka turun kepada 4.0 peratus daripada tenaga buruh pada 2022

“Apabila aktiviti ekonomi meningkat, kadar pengangguran dijangka terus berkurangan pada 2022 kepada kira-kira 4.0 peratus daripada tenaga buruh, disokong oleh langkah-langkah yang disasarkan untuk melonjakkan permintaan buruh, memudahkan kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran serta mengurangkan geseran pasaran buruh,” kata bank pusat itu.

Ia menambah pemulihan berterusan dalam pekerjaan dan pendapatan dijangka memacu peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah, manakala kemajuan dalam vaksinasi dan penarikan balik langkah-langkah pembendungan akan membawa kepada peningkatan dalam keyakinan pengguna selain beberapa permintaan terpendam dapat direalisasikan.

“Hasilnya, penggunaan swasta dijangka melonjak 9.0 peratus (2021: naik 1.9 peratus) manakala pelaburan swasta juga diunjur pulih, meningkat 5.3 peratus pada 2022 daripada 2.6 peratus pada 2021, disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan global dan pelaksanaan projek pelaburan baharu dan yang sedang dijalankan,” katanya.

Mengenai pelaburan awam pula, BNM berkata ia diunjurkan berkembang 9.6 peratus pada 2022 berbanding penguncupan 11.4 peratus tahun lepas, didorong oleh perbelanjaan modal yang berterusan oleh kerajaan dan syarikat awam.

“Penggunaan awam dijangka berkembang 1.2 peratus pada 2022 daripada 6.6 peratus pada 2021, penyederhanaan itu disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam emolumen dan penguncupan dalam perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan,” katanya.

Ia menyatakan bahawa langkah-langkah dasar yang disasarkan dijangka kekal untuk memudahkan momentum pemulihan.

Walaupun menyedari bahawa langkah-langkah pembendungan yang lebih meluas berpotensi untuk dilaksanakan semula disebabkan kebangkitan semula penularan COVID-19 seperti kemunculan varian membimbangkan (VOC) yang teruk dan tahan vaksin merupakan risiko penurunan utama kepada pertumbuhan domestik, BNM tetap mengunjurkan risiko keseluruhan condong ke arah bawah.

“Pertumbuhan global yang lebih tinggi daripada jangkaan dan peningkatan lebih kukuh daripada jangkaan dalam sektor berkaitan pelancongan di tengah-tengah pembukaan semula sempadan menimbulkan risiko meningkat kepada pertumbuhan domestik,” katanya.

Semua sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2022, diterajui sektor perkhidmatan

Menurut BNM, semua sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2022, dengan sektor berorientasikan eksport terus mendapat manfaat daripada permintaan luar dan pengembangan kapasiti pengeluaran domestik yang kukuh.

Katanya sektor perkhidmatan dijangka menyaksikan pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.9 peratus daripada 1.9 peratus pada 2021, diikuti pembinaan (6.1 peratus daripada -5.2 peratus pada 2021), pembuatan (5.2 peratus daripada 9.5 peratus pada 2021), perlombongan dan kuari (2.5 peratus daripada 0.7 peratus pada 2021) dan pertanian (1.5 peratus daripada -0.2 peratus pada 2021).

Bank pusat itu menambah jangkaan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi sektor perkhidmatan akan diterajui oleh subsektor berkaitan pengguna dan pelancongan; pertumbuhan dalam sektor pembuatan akan disokong oleh kelompok atau kluster elektrik dan elektronik (E&E) berikutan permintaan global yang berterusan; dan pemulihan dalam sektor pertanian akan dipacu terutamanya oleh pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi.

Bagi sektor perlombongan, BNM berkata ia dijangka mencerminkan peningkatan berterusan dalam pengeluaran minyak mentah dan gas asli susulan pengoperasian kemudahan baharu seperti projek gas Pegaga di luar pantai Sarawak; manakala pertumbuhan dalam sektor pembinaan dijangka pulih berikutan pembukaan semula ekonomi.

​​​​Eksport dijangka berkembang 10.9 peratus, import meningkat 8.1 peratus pada 2022

BNM berkata permintaan global akan terus menyokong sektor luaran dengan eksport kasar diunjurkan berkembang 10.9 peratus pada 2022 daripada 26.0 peratus pada 2021, menyaksikan permintaan kukuh daripada rakan perdagangan utama untuk produk E&E; manakala import kasar dijangka meningkat 8.1 peratus tahun ini daripada 23.3 peratus pada 2021, didorong sebahagiannya oleh permintaan untuk eksport perkilangan.

“Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia bagaimanapun akan terjejas oleh kesan konflik ketenteraan di Ukraine terhadap pertumbuhan global, terutamanya melalui saluran perdagangan,’’ katanya.

Sementara itu, BNM berkata akaun semasa dijangka mencatatkan lebihan yang tinggi iaitu 4.2-4.7 peratus daripada KDNK pada 2022 daripada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2021, dipacu oleh lebihan barangan di tengah-tengah keadaan permintaan luar yang terus kukuh dan harga komoditi yang tinggi.

​​​Purata inflasi keseluruhan antara 2.2 dan 3.2 peratus pada 2022

Mengenai inflasi keseluruhan, bank pusat menjangkakan ia pada purata antara 2.2 dan 3.2 peratus pada 2022 di tengah-tengah inflasi asas yang lebih tinggi, manakala inflasi teras diunjur lebih tinggi antara 2.0 dan 3.0 peratus pada 2022 disebabkan keadaan permintaan yang lebih kukuh dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan.

Melangkah ke hadapan, bank pusat berkata dasar monetari pada 2022 akan terus menyokong pemulihan ekonomi yang mampan, sambil mengekalkan kestabilan harga.

“Keputusan dasar monetari pada masa hadapan akan terus dipacu data dan dipandu oleh keseimbangan risiko yang semakin berkembang dalam persekitaran prospek inflasi dan pertumbuhan domestik,” katanya.

​​​​​Pembaharuan struktur yang dilaksanakan dengan baik penting untuk tangani cabaran kritikal

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menerusi kata pengantar yang terkandung dalam laporan itu berkata tahun 2022 bakal menjadi tahun yang membawa titik perubahan apabila kebanyakan negara secara progresif beralih ke arah pengurusan endemik Covid-19 sementara kadar pemulihan di Malaysia diunjurkan terus meningkat di tengah-tengah pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa.

“Walaupun kita masih belum pulih sepenuhnya tetapi kita lebih bersedia sekarang,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata pembaharuan struktur yang dilaksanakan dengan baik diperlukan untuk menangani cabaran kritikal bagi menggiatkan semula peluang pertumbuhan dan mengukuhkan asas ekonomi negara.

Nor Shamsiah berkata untuk Malaysia muncul lebih kukuh dan berdaya tahan, adalah penting untuk memberi tumpuan kepada bidang utama pembaharuan struktur seperti peralihan ke arah pelaburan berkualiti tinggi yang mesti dilakukan seiring dengan pembangunan tenaga kerja sedia masa depan, mempercepatkan pembaharuan perlindungan sosial serta penggunaan pesat automasi dan pendigitalan selain dorongan berterusan untuk menerima pakai agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi kekal berdaya saing di peringkat global.

“Saya amat percaya bahawa ekonomi Malaysia akan terus maju. Dengan memastikan persekitaran ekonomi yang berkeupayaan dan berdaya saing, Malaysia akan berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada peluang pertumbuhan baharu, yang akan mempersiapkan kita menghadapi cabaran baharu dalam dunia pasca pandemik,” katanya.

Berita berkaitan
Keadaan perniagaan Malaysia semakin merosot sejak Jan: Laporan
October 2, 2023· Isu semasa
Firma penarafan semak unjuran KDNK 2023 negara turun jadi 4 peratus
August 23, 2023· Isu semasa
Pertumbuhan KDNK susut 2.9 peratus, PMX digesa tumpu pulihkan ekonomi: Marzuki
August 22, 2023· Isu semasa
Ramalan tak memberangsangkan, hanya Menteri Ekonomi terangsang: Shahrir
August 21, 2023· Isu semasa
Popular
Dewan Rakyat: MP DAP harap pekebun durian di Raub diberi geran tanah
June 13, 2023
[KEMAS KINI] Najib pecat peguam cara firma guaman Zaid Ibrahim
August 19, 2022
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024
Bajet 2024: Cukai perkhidmatan naik jadi 8%, subsidi minyak diesel dimansuhkan
October 13, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok