
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) memberikan kad pengesahan pelarian kepada beberapa individu warga Indonesia.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata menerusi operasi penguatkuasaan, pihaknya berjaya mengesan beberapa warga Indonesia yang didapati mempunyai memiliki kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR.
“Macam mana UNCHR mengeluarkan kad sewenang-wenangnya.
“Sehinggakan dengan ada kad ini, seolah-olah sah untuk mereka tinggal dalam negara,” katanya pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Besar Meru, di Kapar, Selangor, malam tadi.
Operasi malam tadi menyaksikan daripada 704 warga asing yang diperiksa, 51 pendatang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.
Sementara itu, mengulas kegagalan sistem di Pejabat Imigresen Kelana Jaya yang dilaporkan sebuah portal hari ini, Hamzah berkata ia bukan sahaja berlaku di pejabat berkenaan tetapi juga di pejabat imigresen di tempat lain.
“Saya nak maklumkan kepada semua sebenarnya kita gunakan ini (dalam talian) adalah sistem yang lama. Maka sudah tentulah sistem lama dah terlampau ramai, dia ada ‘jammed’ sedikit.
“Sebab itu kita telah pun ‘award’ kepada satu syarikat sistem yang baharu dan mereka sedang jalan (proses itu) dan insya-Allah tahun 2024 siap semuanya, kita boleh guna sistem yang lebih canggih dan bagus,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihak berkuasa akan terus memburu 60 pelarian etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau, Kedah melalui operasi besar-besaran di seluruh negara.
Hamzah berkata Jabatan Imigresen diarahkan untuk terus mengadakan operasi sedemikian di lokasi dan penempatan warga Rohingya seperti di pasar borong.
Katanya, KDN tidak akan berdiam diri dan membiarkan mereka terlepas serta bebas di dalam negara ini.
“Ini (operasi) akan memberi peringatan kepada rakan mereka supaya tidak sewenang-wenangnya melindungi 60 pelarian itu. Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mereka ini dilindungi,” katanya.
Pada 20 April lalu, seramai 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementara berkenaan selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi.