KDN pandang serius ancaman keselamatan oleh Israel, jamin Malaysia selamat

Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh regim Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, susulan ancaman itu, tindakan segera telah diambil, dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi- agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek.

“Ini bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, KDN juga mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik.

“Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin,” tegasnya.

Terdahulu kepimpinan regim Israel didakwa mengarahkan ejen perisikan negaranya iaitu Shin Bet dan Mossad untuk membunuh pegawai tertinggi Hamas di dalam dan luar negara.

Portal warnews247.gr melaporkan, menurut maklumat yang disiarkan oleh televisyen Israel, ejen perisikan itu akan menyerang negara seperti Iran, Turki, Qatar dan Malaysia yang memberi penempatan, membiayai dan melatih pegawai Hamas.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
5,793 kes baharu hari iniJune 12, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021