Kawal selia BNM ke atas Tabung Haji tidak hakis hak menteri, umat Islam

Pengawalseliaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas Tabung Haji (TH) bertujuan memperkasakan agensi dan meletakkannya kepada tadbir urus yang diyakini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata pengoperasian TH sebagai institusi kewangan terbesar umat Islam di negara ini yang diamanahkan menjaga wang lebih 8.3 juta pendeposit perlu dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berintegriti.

“Pemusatan kuasa yang terlalu besar ke atas suatu individu atau pihak, bagi institusi kewangan terbesar umat Islam ini, dikhuatiri boleh membuka jalan kepada ketidakcekapan tadbir urus yang bakal membawa mudarat besar kepada TH.

“Oleh itu, perlunya satu kawal selia dari badan yang berkepakaran seperti bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan TH kekal pada landasannya,” kata beliau dalam kenyataan petang tadi.

Beliau juga menjelaskan langkah meletakkan TH di bawah kawal selia BNM tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam ke atas TH.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan terus kekal sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi TH dalam memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara,” katanya .

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh yang melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta 535.

Jemaah Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Zulkifli berkata sepertimana institusi kewangan lain yang dikawal selia BNM, setiap daripadanya mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada, sebagai contoh menurutnya, Bank Rakyat yang masih di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Katanya cadangan itu juga selaras hasrat kerajaan untuk menjunjung nilai integriti dan tadbir urus yang baik berasaskan lapan prinsip utama yang digariskan United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP).

Justeru, beliau berharap umat Islam di negara ini dapat memberikan kepercayaan kepadanya, Menteri Kewangan serta kerajaan dalam melaksanakan penambahbaikan ke atas TH.

“Sesungguhnya TH mempunyai signifikan yang besar ke atas umat Islam. Perkara utama adalah untuk memperkasa TH serta berada dalam situasi tadbir urus yang diyakini tanpa sebarang keraguan. Kami akan terus memastikan hak umat Islam kekal terpelihara melalui penambahbaikan operasi TH,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR