Katil ICU pesakit Covid-19 di Putrajaya capai tahap 100 peratus

Penggunaan katil hospital di Putrajaya bagi pesakit kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan pesakit kes Covid-19 kini sudah mencapai tahap 100 peratus.

Perkara itu diberitahu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang turut mendedahkan empat negeri lain juga menunjukkan peratus pengisian katil ICU melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (59 peratus), Selangor (57 peratus) dan Kelantan (52 peratus).

Jelasnya lagi, bagi penggunaan katil bukan ICU sehingga semalam, terdapat lapan negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu di Selangor sebanyak 80 peratus, Terengganu (75 peratus), Putrajaya (67 peratus), Melaka (62 peratus), Perak (57 peratus), Sarawak (56 peratus), Negeri Sembilan (55 peratus) dan Perlis (52 peratus).

“Tiada negeri mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Sementara itu, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 189 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 21 peratus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata tiada kluster baharu Covid-19 yang dikesan semalam, sekali gus menjadikan jumlah kluster masih aktif di negara ini kekal sebanyak 273 kluster.

Beliau juga memberitahu kebanyakan kes bagi kategori 3 hingga 5, didapati majoritinya tidak menerima vaksin atau belum lengkap vaksin.

“Sementara itu, daripada 165 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baru dilaporkan, didapati 43 kes (26.06 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; manakala 71 kes (43.03 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 51 kes (30.91 peratus) sudah menerima dos penggalak,” katanya lagi.

Beliau berkata, sebanyak 99 kes atau 60 peratus kategori sama adalah berusia lingkungan 60 tahun dan ke atas; 98 kes (59.39 peratus) mempunyai komorbid dan dua kes (1.21 peratus) membabitkan ibu mengandung.

BERITA BERKAIT
POPULAR