Katil ICU hospital di Lembah Klang kritikal, cecah 113 peratus

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 semakin kritikal.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) semalam, secara keseluruhan di seluruh negara meningkat kepada 91 peratus, berbanding semalam sebanyak 83 peratus pada 20 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, KKM berkata hospital-hospital di sekitar Lembah Klang mengalami keadaan serius apabila kadar penggunaan katil ICU sehingga 21 Mei lalu mencecah 113 peratus.

“Bagi menampung peningkatan ini, hospital terpaksa menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.

“Walau bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan,” kata kenyataan itu.

Kementerian berkata, sebahagian daripada Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh juga sudah ditukar menjadi tempat rawatan kritikal dan ICU bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan orang ramai untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada prosedur operasi standart (SOP),” kata kenyataan itu.

KKM juga menyeru majikan untuk memberi kebenaran kepada pekerja mereka bekerja dari rumah (BDR) dan mengehadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa.

POPULAR