Katil ICU di Pulau Pinang penuh, kerajaan negeri sokong pelaksanaan PKP

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 semakin kritikal.

Kerajaan negeri Pulau Pinang bimbang keadaan kritikal dihadapi di hospital negeri tersebut selepas penggunaan katil katil di unit rawatan rapi (ICU) mencapai tahap kapasiti maksimum.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumum kerajaan pusat semalam adalah tepat pada masanya memandangkan keadaan penularan yang semakin serius dan jumlah kes jangkitan yang semakin meningkat.

“Keadaan ini membimbangkan dan kita tidak mahu situasi sebagaimana di India berlaku di negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, kadar penggunaan fasiliti perubatan secara keseluruhannya juga melebihi 70 peratus bagi katil COVID-19 bukan ICU, seperti mana yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata sepanjang minggu ke-18 iaitu antara 2 Mei hingga 8 Mei lalu, sejumlah 1,682 kes positif COVID-19 dilaporkan di negeri ini.

Chow berkata, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bahawa jumlah kes aktif di negeri ini mencecah lebih 1,000 kes, dan ia memerlukan pemantauan serta pengurusan aktif daripada pihak hospital dan pejabat kesihatan daerah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara susulan kebimbangan peningkatan jangkitan kes Covid-19 yang boleh mencetuskan krisis nasional kepada negara.

Tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

POPULAR