Kastam rampas syabu RM1.8 juta disorok dalam tayar basikal

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas syabu dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta, yang disorokkan dalam tayar basikal kanak-kanak yang mahu dihantar menggunakan syarikat kurier.

Rampasan itu dibuat setelah Unit Narkotik JKDM melakukan pemerikaan di sebuah pejabat syarikat kurier di Pusat Perniagaan Raja Uda di Butterworth pada jam 6 petang semalam.

Anggota unit berkenaan menemui 10 kotak dengan salah satunya mengandungi set rangka basikal kanak-kanak, tayar dan rim, kata Pengarah JKDM Negeri Abdul Halim Ramli.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati di dalam tayar basikal itu tersorok bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Susulan itu, pasukan merampas kesemua 10 kotak terbabit dan membawanya ke Pejabat Unit Narkotik di Kampung Kastam, Bagan Jermal, untuk pemeriksaan menyeluruh.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh, pasukan menjumpai 104 bungkusan plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah di dalam tayar basikal dalam 10 kotak berlainan, seberat lebih 18 kilogram (kg) dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abdul Halim berkata, hasil pemeriksaan terhadap dokumen pada semua bungkusan itu mendapati alamat pengirimnya adalah di Pulau Pinang dan barangan terbabit untuk dihantar ke salah sebuah negara di Oceania.

“Bagaimanapun setakat ini, kita tidak dapat mendedahkan identiti pengirim berkenaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan dari pelbagai sudut.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

“Orang awam yang mengetahui sebarang kegiatan berkaitan penyeludupan boleh menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat. JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR