Kapal tangki terbakar, dua kru cedera

Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadam kapal tangki yang terbakar di Harbour Trade Centre, Gat Lebuh Macallum, Georgetown, petang Isnin. - Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat

Dua kru sebuah kapal tangki yang membawa muatan diesel cedera dan melecur dalam kebakaran dari bahagian dalam kapal tersebut ketika berlabuh di perairan Harbour Trade Centre, Gat Lebuh Macallum, Georgetown petang tadi.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Muzamer Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.02 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran membabitkan sebuah kapal tempatan yang membawa muatan diesal dan pihak bomba dimaklumkan terdapat dua pekerja lelaki berada di dalam kapal berkenaan manakala dua lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.

“Seorang daripadanya berusia lingkungan 30-an mengalami melecur 90 peratus pada badan manakala rakannya berumur 50 tahun cedera di bahagian kepala dan tidak melecur,” katanya.

Memetik laporan Bernama, kedua-dua mangsa warga tempatan itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, seramai 50 pegawai dan anggota bomba daripada Balai Bomba Dan Penyelamat Lebuh Pantai, Jalan Perak, Bagan Jermal dan Bayan Baru dibantu Pasukan Bomba Sukarela di kawasan itu terlibat dalam operasi tersebut dan api berjaya dikawal pada 4.44 petang.

“Pihak bomba masih membuat pemantauan dan kawalan di kawasan kapal itu bagi memastikan tiada api, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.