
Pergaduhan dua keluarga di di kawasan lapang Projek Perumahan Rakyat (PRR) Kempas di Johor Bahru tiga hari lalu sempat dirakam penduduk sebelum tular di media sosial.
Polis menangkap 10 individu daripada dua keluarga selepas terbabit dalam pergaduhan di kawasan lapang Projek Perumahan Rakyat (PRR) Kempas di Johor Bahru tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komosioner Rupiah Abd Wahid berkata 10 individu terbabit berusia antara 12 hingga 45 tahun.
“Pada 26 Mei 2021 jam lebih kurang 6.45 petang polis daerah Johor Bahru Utara telah menerima laporan daripda orang awam berkenaan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan penduduk di kawasan lapang perumahan PPR Kempas.
“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku antara dua keluarga berpunca daripada masalah peribadi. Kejadian tersebut didapati telah dirakam oleh seseorang yang tidak dikenali dan telah ditularkan melalui media sosial,” katanya.
Beliau berkata hasil risikan dan maklumat, pihak polis menahan 10 suspek berusia antara 12 hingga 45 tahun dan dikenakan tindakan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.
“Kompaun telah dikeluarkan kepada semua suspek di bawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.
“Manakala pergaduhan yang berlaku disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman klip video dan gambar mengenai pergaduhan yang didakwa membabitkan penolong setiausaha sebuah parti politik di Pulai.