Kanak-kanak 5 hingga 12 tahun diberi vaksin Covid-19: Khairy

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, kata Menterinya Khairy Jamaluddin hari ini tetapi tidak menyatakan bila suntikan akan dilakukan.

Sehubungan itu katanya Malaysia akan membuat pembelian vaksin Pfizer untuk tujuan itu.

“Menerusi keputusan panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat yang mengesyorkan suntikan Pfizer bagi individu berusia lima hingga 12 tahun, Malaysia akan teruskan usaha perolehan Pfizer untuk kanak-kanak,” katanya menerusi kenyataan di Twitter, hari ini.

Beliau berkata KKM akan turut meneliti pilihan bekalan vaksin lain yang berada di pasaran seperti Sinovac untuk dimasukkan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kanak-kanak.

Selasa lalu, panel FDA mengesyorkan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, selepas penelitian agensi berkenaan mendapati manfaat suntikan itu melebihi risiko.

FDA dijangka memberi lampu hijau tidak lama lagi, sekali gus membuka jalan kepada 28 juta kanak-kanak Amerika layak menerima suntikan itu menjelang pertengahan November ini.

Pada 20 September lalu, kerajaan melancarkan program PICK Remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Laman sesawang KKM, COVIDNOW menunjukkan sehingga Rabu, 62 peratus atau 1,951,450 remaja telah lengkap divaksinasi, manakala 82.4 peratus atau 2,592,048 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR