
Kamera badaĆ.
Penggunaan kamera badan akan dapat meningkatkan integriti anggota pasukan keselamatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Terdahulu semasa pembentangan Bajet 2023 kerajaan mengumumkan penambahan 2,100 lagi unit kamera badan, ia tambahan kepada perolehan RM30 juta sebelum ini.
Saifuddin berkata membantu meningkatkan pelbagai aspek penugasan membabitkan anggota polis dan petugas lain di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penjara Malaysia.
“Penggunaan kamera badan ini mampu meningkatkan integriti perkhidmatan, malah ia akan menjadi sumber bahan bukti kepada anggota polis dan petugas agensi keselamatan lain.
“Selain itu, penggunaannya juga dapat mengawal manipulasi, meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap setiap penugasan anggota ini. Malah, agensi penguat kuasa itu sendiri berasa lebih yakin dalam melaksanakan tugas secara profesional, jadi banyak faedahnya,” katanya dipetik laporan BH.
Menurut Saifuddin, KDN kini dalam peringkat akhir memuktamadkan pihak kontraktor yang akan mengendalikan pemerolehan aset itu.
“Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada umumkan (dalam pembentangan Belanjawan 2023) untuk penambahan 2,100 lagi unit kamera badan di mana sebelum ini kami sudah pun ada bajet sebesar RM30 juta untuk pemerolehan ini.
“Iklan pun sudah dikeluarkan (mencari kontraktor menyelia) untuk pemerolehan kamera badan ini dan ia sekarang berada dalam peringkat akhir penelitian,” katanya lagi.
Terdahulu, Saifuddin mengadakan lawatan di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.