
Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Persoalan timbul susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam adakah kerajaan campuran bercakap bohong dalam isu keputusan menarik rayuan penggunaan kalimah Allah, soal Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Pembangkang berkata selepas titah Sultan Selangor dalam satu kenyataan semalam, ia secara tidak langsung menimbulkan percanggahan dengan kenyataan kerajaan sebelum ini mengatakan keputusan itu sudah dirujuk dengan Majlis Raja-Raja.
“Kes Jill Ireland dikeluarkan oleh (ahli Parlimen) Tambun sendiri apabila kata dah rujuk kepada Majlis Raja-Raja.
“Semalam kita dapat tahu Sultan Selangor telah keluarkan kenyataan selaku pengerusi MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam) bahawa baginda mahu isu ini dibawa ke Majlis Raja-raja.
“Maknanya isu ini belum dirujuk lagi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Terdahulu, baginda bertitah supaya isu itu dirujuk kepada MKI sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja sebelum membuat keputusan muktamad berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Pada 15 Mei, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Notis pemberhentian rayuan yang difailkan pada 18 April lepas itu menyatakan bahawa kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.
Seterusnya pada 23 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Dewan Rakyat menafikan dakwaan bahawa keputusan menarik balik rayuan kes kalimah Allah di mahkamah tidak dirujuk kepada Majlis Raja-raja.
Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun berkata, keputusan perkara itu telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-raja.