Kalimah Allah : Tidak timbul soal tidak rujuk YDPA, kata Anwar

May 23, 2023 · Isu semasa

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat hari ini keputusan menarik balik rayuan kes kalimah Allah itu sudah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, baginda menitahkan agar semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja sebelum ini yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam di Semenanjung.

“Memang dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu (kalimah) Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran diberi di Sabah dan Sarawak. Jadi tidak timbul sama sekali soal tidak dirujuk.

“YDPA memperkenan supaya kertas jemaah menteri dan kita akan rujuk kepada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang dipengerusikan Sultan Selangor akan memberikan beberapa pandangan untuk memperkemaskan keputusan ini supaya keputusan muktamad. Insya-Allah akan dibentang dalam mesyuarat Raja-raja Melayu pada Julai nanti,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad yang mahu mengetahui sama ada kerajaan sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan berunding dengan majlis-majlis agama negeri terlebih dahulu sebelum memutuskan menarik balik rayuan kes tersebut.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes mahkamah berkait kalimah Allah itu bagi mengelak percanggahan dengan ketetapan yang dibuat Majlis Raja-Raja.

“Seperti kita tahu keputusan yang dibuat1986 tidak pernah dipinda oleh kerajaan Barisan Nasional, Perikatan Nasional sehinggalah sekarang, kerajaan perpaduan nak pinda supaya diperjelaskan.

“Jadi kita tamatkan (percanggahan dengan ketetapan Majlis Raja-Raja) dengan pinda semua peraturan supaya jelas tidak ada kes yang boleh dibawa ke mahkamah. Bagi saya ini jelas, apa yang lemahnya?

“Sekiranya kita kekalkan keadaan yang keliru sekarang, itu kelemahan kita. Tapi kita tarik (rayuan) untuk perbetulkan kelemahan kita, maknanya tidak ada mahkamah yang boleh membuat keputusan bercanggah dengan keputusan dibuat sekarang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin yang menuntut penjelasan kerajaan berhubung rasional tindakan penarikan rayuan kes tersebut turut mendedahkan kandungan memo yang ditulis Anwar pada 1986 kepada perdana menteri ketika itu.

“Persoalannya kenapa kerajaan membuat keputusan menarik balik kes rayuan di Mahkamah Rayuan ini? Sedangkan apa salahnya, apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan sedemikian, kerajaan telah merayu…Mahkamah Tinggi (diadili) seorang hakim dan Mahkamah Rayuan (diadili) tiga orang hakim.

“Saya nak tanya, apa rasionalnya untuk menarik balik rayuan itu? Kita perlu beri penghormatan kepada mahkamah lebih tinggi buat keputusan, kalau itu keputusannya kita terimalah,” katanya.

Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang penganut agama Kristian dari Sarawak, Jill Ireland untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam pembelajaran agamanya.

Notis pemberhentian rayuan itu difailkan pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.

Dalam keputusannya, Hakim Nor Bee berkata arahan KDN pada 5 Disember 1986 bahawa larangan penggunaan kalimah ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ’Kaabah’ ke atas orang bukan Islam menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Berita berkaitan
Dalam pembelaan kes saman, Rosmah kata barang kemas diberi tanpa diminta
2 jam lalu· Isu semasa
Penulis buku Daim Zainuddin diperintah bayar saman RM1.2 juta
17 jam lalu· Isu semasa
4 bulan tiada ketua audit negara, kerajaan beria mahu bahas LKAN 2021
19 jam lalu· Isu semasa
Akta pendanaan politik: Anwar lupa agenda reformasi
20 jam lalu· Isu semasa
Popular
4 bulan tiada ketua audit negara, kerajaan beria mahu bahas LKAN 2021
June 6, 2023
Penulis buku Daim Zainuddin diperintah bayar saman RM1.2 juta
June 6, 2023
Penganalisis sanggah PMX buat perbandingan kenaikan OPR dengan Singapura
June 6, 2023
China mungkin tidak benarkan Jho Low balik Malaysia, kata Justo
June 4, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Ditipu skim pelaburan wang, lelaki rugi RM524,800
16 jam lalu · Isu semasa
Selesai polemik agama segera dengan bijak dan tertib, titah Sultan Selangor
16 jam lalu · Isu semasa
Penganalisis sanggah PMX buat perbandingan kenaikan OPR dengan Singapura
17 jam lalu · Isu semasa
P.Pinang-Kedah: Keterlaluan label pandangan Sanusi sebagai jenayah
18 jam lalu · Isu semasa
Pengerusi PH Kelantan dilantik Pengerusi KADA baharu
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ucapan Sanusi di himpunan PN Best Tanjung Karang
June 5, 2023
[VIDEO] Anwar usah sembang, nak faham orang miskin kena jadi miskin
June 5, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok