
Sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Tindakan kerajaan BN-PH menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkait kalimah Allah baru-baru ini disifatkan ‘tempang’.
Ahli Parlimen dari blok pembangkang, Datuk Ahmad Saad berkata tiada pemakluman awam dibuat terhadap keputusan tersebut.
“Apakah kerajaan sengaja menyembunyikan isu ini kerana takut bantahan umat Islam terhadapnya?
“Saya melihat seolah-olah pihak menteri sendiri tidak benar-benar memahami implikasi daripada tindakan yang diambil itu.
“Tidak ada keseriusan dalam keputusan yang diambil selepas sekadar menghantar nota jemaah menteri dan bukan memorandum untuk dibahaskan oleh Kabinet secara lumat,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga berkata keputusan itu tidak melalui proses yang sepatutnya termasuk tiada perundingan dengan pemegang taruh utama serta institusi diraja.
“Pihak Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah tidak dilibat urus dalam keputusan diambil sedangkan mereka terbabit sebagai sahabat mahkamah di peringkat Mahkamah Rayuan,” katanya.
Beliau turut bertanya sama ada terdapat desakan di sebalik tabir dalam isu berkenaan hingga menyebabkan kerajaan memutuskan menarik balik rayuan tersebut.
Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang penganut agama Kristian dari Sarawak, Jill Ireland untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam pembelajaran agamanya.
Notis pemberhentian rayuan itu difailkan pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.
Dalam keputusannya, Hakim Nor Bee berkata arahan KDN pada 5 Disember 1986 bahawa larangan penggunaan kalimah ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ’Kaabah’ ke atas orang bukan Islam menyalahi undang-undang dan tidak rasional.