
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin memeriksa barisan kehormatan pegawai dan anggota Jabatan Penjara Malaysia pada sambutan Hari Penjara Ke-232 di Penjara Kajang, hari ini, 22 Mac 2022.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin membidas UMNO yang melabelkan mereka yang menukar parti sebagai pengkhianat, sedangkan seorang pengkhianat tidak boleh menjadi Menteri Dalam Negeri.
Sebaliknya, Hamzah yang juga Setiausaha Perikatan Nasional (PN) secara tidak langsung memberi contoh dirinya yang kini menjadi Menteri Dalam Negeri, setelah keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.
Malah, katanya label pengkhianat yang diberikan pemimpin UMNO hanyalah takrifan dan persepsi yang ditimbulkan oleh parti itu.
“Kalau Perhimpunan Agung UMNO mengatakan orang lompat parti itu sebagai pengkhianat, sepatutnya pengkhianat tak boleh jadi Menteri Dalam Negeri. Tetapi hari ini Menteri Dalam Negeri duduk di sini dan tak pun mengkhianati rakyat.
“Yang pentingnya adalah rakyat kerana parti yang mengatakan kita lompat atas tujuan tertentu hanyalah pesepsi yang ditimbulkan oleh mereka.
“Pada saya, saya telah menjelaskan bahawa sesuatu yang berlaku adalah kehendah Allah kerana kepentingan kepada perkara itu berlaku.
“Ketika itu rakyat di luar sana hidup dalam kedaan resah termasuk isu perkauman, keagamaan dan ketika itu UMNO sebagai parti pembangkang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Penjara Ke-232 di Penjara Kajang, hari ini (22 Mac 2022).
Hamzah yang menjadi Menteri Dalam Negeri sejak 2020 ketika pentadbiran PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan melompat parti ketika itu bertujuan menstabilkan kerajaan.
Sekarang ini, katanya kerajaan telah stabil tetapi ada sesetengah pihak yang melaungkan seolah-olah kerajaan gagal mentadbir urus negara.
“Jadi ini menunjukkan sikap sesetengah orang yang tidak langsung memikirkan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin kepada rakyat.
“Kita ada masih setahun lebih lagi, mengapa tidak kita sama-sama memberikan buah fikiran daripada fikir tentang politik hari-hari dan hanya mereka yang tiada perkara lain, agendanya hanyalah nak cari tempat atau kuasa atau jawatan dalam negara,” katanya.
Hamzah berkata, rakyat sudah sedar mereka yang melaung-laungkan perkara seperti ini semata-mata hanya mahu merosakkan pemikiran rakyat.