Kakak cuba selamat adik lemas dihanyut arus sungai

Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemukan lemas di Sungai Pengkalan Teluk, di Rantau Panjang, Pasir Mas, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Siti Alia Nasuha Mohd Rosli dikatakan cuba menyelamatkan adiknya Mohd Akid Akmal, 11, yang hampir lemas, tetapi sempat diselamatkan oleh bapanya.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mangsa dikatakan pergi ke sungai berkenaan bersama keluarganya dan cuba menyelamatkan adik lelakinya, yang hampir lemas.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai lemas sekitar jam 11 pagi dan dijumpai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas pada jarak 40 meter dari lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Bernama.

Dalam kes berasingan, seorang warga emas juga ditemukan lemas dipercayai setelah perahunya terbalik di kawasan sawah yang ditenggelami banjir di Kampung Batu Lapan, Gual Periok, pagi tadi.

“Mustapa Nawang, 65, yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di Kampung Batu Lapan, Gual Periok, Rantau Panjang pada jam 8.45 pagi tadi.

“Anak mangsa bersama beberapa rakan telah mencari mangsa setelah mangsa tidak pulang ke rumah sejak petang semalam sebelum menjumpainya di belakang sebuah rumah berdekatan dengan tempat perahunya terbalik di kawasan sawah yang dinaiki air banjir,” katanya.

Muhamad Zaki berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

Katanya, kedua-dua mangsa lemas ini tidak diklasifikasikan sebagai mati lemas akibat banjir.

BERITA BERKAIT
POPULAR