Kaji dulu, tak perlu tergesa-gesa bentang RUU antilompat parti: PAS

PAS berpendapat Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya ia memerlukan kajian dan penelitian secara menyeluruh.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata kerajaan perlu membuat huraian dan penaksiran secara menyeluruh berkaitan beberapa istilah ‘lompat parti’ sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, RUU antilompat parti itu perlu pada penaksiran berdasarkan perjuangan untuk menyelamatkan rakyat dan bukannya diri sendiri.

“Kita perlu sedar lompat parti ada sebab-sebabnya… jika disebabkan dasar dan perjuangan betul, ia tidak boleh ditolak, tapi jika disebabkan perjuangan salah, kita boleh tolak.

“Sebab itu kita berpendapat perlu kepada penaksiran kerana perjuangan kita adalah untuk selamatkan rakyat dan bukan selamatkan diri,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan wujud ‘sabotaj politik’ dalam isu Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti yang gagal dibentang di sidang Dewan Rakyat, Isnin ini.

Sebaliknya, menurut beliau terdapat perbezaan pendapat, termasuk berkaitan istilah ‘lompat parti’ dan beberapa ciri-ciri RUU itu.

Wan Junaidi juga sebelum ini menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen (MP) melompat parti, dalam draf pentadbiran RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti.

Pertama, ialah MP itu dikira lompat parti apabila beliau yang memenangi pilihan raya, kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain.

Kedua, seorang MP memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti, juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bertujuan memastikan MP patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

Ketiga, tindakan lompat parti itu juga membabitkan MP Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai parti politik selepas kemenangannya.

Beberapa pemerhati politik menyifatkan undang-undang anti lompat parti itu agak pelik, khususnya berkaitan istilah ‘lompat parti’ itu sendiri yang boleh mendatangkan huru-hara dalam kalangan rakyat.

Ia terutama melibatkan perkara kedua yang bagi mereka akan mengheret pengundi untuk berdepan lebih banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pastinya menelan belanja berjuta-juta ringgit wang rakyat, sekiranya berlaku pertelingkahan politik dalam koridor kuasa parti masing-masing.

Pemerhati politik melihat sekiranya Presiden tidak suka kepada seseorang di dalam partinya atau yang dilihat cuba menentangnya dalam pemilihan parti, beliau akan mempengaruhi majlis tertinggi parti untuk memecat MP tersebut yang sekali gus dianggap lompat parti.

Oleh itu, sekiranya berlaku perebutan kuasa dalam parti atau ada MP yang berselisih faham dengan Presiden atau ahli majlis tertinggi yang berpengaruh, mereka akan dipecat dan PRK terpaksa diadakan.

Pemerhati politik berpendapat undang-undang yang sepatutnya memberi jalan penyelesaian kepada masalah rakyat akan bertukar menjadi ‘pencetus masalah’ dan hanya menelan kos serta wang rakyat semata-mata memenuhi cita-cita dan memuaskan ‘perperangan’ sesama ahli politik.

Sementara itu, memetik laporan media Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata ahli PAS tidak digalakkan mengikut kehendak parti jika dasar perjuangan diubah.

Menurutnya, PAS sudah melalui isu lompat parti sejak 1959 sehingga menyebabkan dua negeri, Kelantan dan Terengganu jatuh akibat wakil rakyat lompat parti pada 1960.

Katanya, PAS sudah lama berusaha menangani masalah lompat parti dan disebabkan itu parti memperkenalkan baiah.

“Mana-mana wakil rakyat daripada PAS yang melompat parti diwajibkan meletakkan jawatan, jika enggan melepaskan jawatan akan dilaknat Allah. Saya dimaklumkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti sebagai persediaan awal termasuk di peringkat asas Perlembagaan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR