
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Saksi pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, bahawa dia tidak menceritakan kepada polis mengenai kain disumbat dalam mulut remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, kerana takut dimarahi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Yasmin, 19, yang juga penghuni rumah kebajikan itu memberitahu demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.
Saksi kelima pendakwaan itu berkata, dia tidak menceritakan kepada polis ketika siasatan, kerana takut Siti Bainun mengetahui perkara itu dan memarahinya.
“Sebab (Siti) Bainun sudah bagi arahan jangan beritahu apa-apa. Kalau saya cerita, saya takut nanti (Siti) Bainun marah. Waktu itu, saya tidak percaya pihak mana-mana pun,” katanya menurut laporan BH.
Selain tidak menceritakan kejadian, Yasmin berkata, dia juga tidak menunjukkan kain itu kepada polis berikutan ia sudah dibuang kerana berbau.
Dalam prosiding pada 21 April lalu, saksi ketujuh pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa pihaknya tidak mengambil lapan gambar bahan bukti bagi kes Bella, antaranya cawan Ikea dan Starbucks, batang penyodok, besi penyangkut langsir, tali rafia, kain perca pengikat mulut serta dua jenis cecair pelembut pakaian.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara Februari dan Jun 2021.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Yasmin tidak bersetuju dengan cadangan peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, bahawa kejadian mengikat dan tidak mahu memberi air kepada Bella dilakukan olehnya.
Saksi itu turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kenyataannya direka bertujuan untuk memastikan Siti Bainun dipenjarakan.
Yasmin juga mengakui bahawa kecederaan melecur dialami Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.
Dia bersetuju dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah Hassan yang juga mewakili Siti Bainun bahawa Bella bermain dengan termos itu yang berada di bilik dobi sebuah kondominium di Wangsa Maju sebelum air termos tertumpah dan terkenanya.
Semasa memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam, Yasmin juga bersetuju dengan cadangan Nurul Hafidzah bahawa dia juga ada memberitahu perkara sama (air termos tumpah) ketika memberi keterangan kepada pihak polis di lobi kondominium pada 7 Julai 2021.
Nurul Hafidzah: Setuju atau tidak air termos yang tertumpah, bukannya air daripada mesin penapis air.
Yasmin: Setuju.
Pada prosiding sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas yang diambilnya daripada mesin penapis air ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.
Disoal peguam adakah punca tumpahan air daripada termos disebabkan Bella bergaduh dengan seorang lagi penghuni dikenali sebagai Balqis selepas remaja sindrom Down itu menghabiskan pencuci muka dan makanan ringan milik Balqis, Yasmin menjawab, tidak pasti.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.