
Saintis masih mengkaji sama ada mencampurkan vaksin Covid-19 adalah penyelesaian untuk kebimbangan mengenai ketersediaan bekalan, melawan varian baharu dan kesan sampingan yang jarang berlaku. - Gambar Reuters
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memang wajar mengkaji secra teliti rancangan melaksanakan kaedah heterologi atau campuran vaksin sebagai pelan B jika berlaku gangguan bekalan dalam negara.
Ini kerana walaupun JKJAV telah menjalankan kajian dan mendapati keputusan menggunakan kaedah itu kurang meyakinkan, nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga perlu diambil kira.
Ketika mendedahkan pelan rancangan itu jika bekalan vaksin Covid-19 dalam negara mengalami gangguan, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata kaedah itu sedang dalam kajian berikutan penggunaan oleh banyak negara lain.
Bagaimanapun, katanya, mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dua minggu lalu mendapati, data yang diperoleh hasil kajian itu tidak menunjukkan keputusan meyakinkan.
“Dalam mesyuarat itu, hasil kajian yang dibentangkan dan data yang diperoleh tidak meyakinkan.
“Bagaimanapun, Khamis ini akan ada satu lagi mesyuarat berhubung perkembangan terkini vaksinasi secara heterologi dan (pembentangan) data daripada negara lain,” katanya semalam.
Setakat ini bagi WHO, berdasarkan prinsip asas setiap vaksin yang dicipta iaitu untuk merangsang sistem imun badan bagi menghasilkan antibodi yang melawan virus, walaupun cara vaksin melakukannya berbeza-beza, kata Pengarah Unit Vaksin WHO, Dr Kate O’Brien.
“Berdasarkan prinsip asas bagaimana vaksin berfungsi, kami berpendapat bahawa campuran dan padanan akan berfungsi,” katanya seperti dilaporkan Associated Press (AP) 18 Jun lalu.
Namun, saintis di Universiti Oxford di United Kingdom (UK) masih menjalankan ujian kombinasi dua dos vaksin Covid-19 yang dikeluarkan AstraZeneca, Moderna, Novavax dan Pfizer-BioNTech. Ujian lebih kecil turut dilakukan di Sepanyol dan Jerman.
“Kita benar-benar hanya perlu mendapatkan bukti dalam setiap kombinasi (vaksin) ini,” kata Dr O’Brien.
Setakat ini, data terhad mencadangkan suntikan dos AstraZeneca diikuti Pfizer adalah selamat dan berkesan.
Bagaimanapun, kombinasi itu mempunyai kesan sampingan sementara yang lebih tinggi seperti sakit dan kedinginan.
Keadaan itu mungkin disebabkan mencampurkan jenis vaksin berbeza biasanya akan menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat, kata Lawrence Young, seorang ahli virologi di Universiti Warwick di UK.
Di beberapa tempat, pegawai kesihatan sudah mencadangkan campuran vaksin dalam keadaan tertentu.
Susulan vaksin AstraZeneca dikaitkan dengan pembekuan darah yang sangat jarang berlaku, beberapa negara Eropah termasuk Jerman dan Perancis mengesyorkan individu yang memperolehnya sebagai dos pertama mendapatkan pula suntikan Pfizer atau Moderna sebagai dos kedua. Kanada juga membuat cadangan yang sama.
Di beberapa tempat seperti di UK orang ramai dinasihat untuk mendapatkan vaksin sama bagi dos kedua mereka jika boleh.
Sekiranya mereka mendapat AstraZeneca sebagai suntikan pertama mereka, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin lain hanya jika mereka mempunyai sejarah pembekuan darah atau keadaan lain yang mungkin menyebabkan mereka berisiko lebih tinggi mengalami keadaan demikian.