Kadar vaksinasi sudah tinggi tapi kes baharu dan kematian juga naik, kenapa?

Kes jangkitan Covid-19 harian dan kematian yang tinggi sebelum ini direkodkan pada ketika jumlah pemberian vaksin masih sedikit. Bagaimanapun keadaan berbeza yang berlaku sekarang ini apabila pemberian vaksin sudah tinggi, tapi kes jangkitan baharu dan kematian juga masih meningkat.

Bermula 6 Februari apabila jangkitan harian merekodkan 10,089, hampir setiap hari selepas itu kes baharu yang direkodkan mula meningkat dan melepasi 20,000, manakala kadar kematian harian juga menunjukkan trend peningkatan.

Perkara yang bermain banyak dalam pemikiran umum ketika ini mengapa senario ini berlaku walhal jumlah kumulatif vaksin diberi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini mencecah 66,441,964 dos, menurut data terkini CovidNOW.

Berdasarkan data terkini, seramai 14,176,241 (60.3 peratus) populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak Covid-19.

Seramai 22,945,612 (97.5 peratus) populasi itu sudah lengkap divaksinasi, manakala 23,223,983 (98.7 peratus) menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagaimanapun, orang ramai dan pemimpin politik yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan mengambil mudah dan seakan leka memandangkan masing-masing sudah menjalankan kehidupan  normal tanpa sebarang sekatan yang dikenakan kerajaan.

Berbeza dengan keadaan sebelum ini ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Kelapan. Ketika itu dunia masih belum ada vaksin dan hanya baharu menemui penawar untuk melawan virus membunuh tersebut.

Kini, pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri baharu selepas Muhyiddin dijatuhkan oleh sekumpulan Ahli Parlimen UMNO yang bersekongkol dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga masih berdepan kadar jangkitan dan kes kematian yang masih tinggi.

Mengapa semua ini berlaku dan adakah ia berpunca akibat sikap orang ramai yang mengambil mudah dalam langkah menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan?

Atau adakah ini berpunca kerana ahli politik sendiri yang tamak dan dahagakan kuasa walaupun rakyat sedang menderita?

Untuk rekod, negara akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk kali ketiga kerana masing-masing parti politik sibuk hendak berkuasa dengan menjadikan rakyat sebagai tikus makmal hanya kerana mahu menguji kemampuan parti masing-masing.

Muhyiddin sebelum ini melaksanakan Pengisytiharan Darurat ketika memegang tampuk pemerintahan bagi mengelak pilihan raya dijalankan dan membahayakan nyawa orang ramai, namun Presiden PKR, Anwar bersama-sama anak muridnya sibuk mendesak supaya ia dibatalkan atas alasan gagal menyekat penularan Covid-19.

Isu Darurat dijadikan modal politik Anwar untuk menyerang Muhyiddin, ia kemudian disambut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan hasilnya kini rakyat terpaksa berdepan satu persatu PRN disebabkan kebebalan pemimpin politik pembangkang dan segelintir dalam UMNO.

Anwar dan anak muridnya, Zahid sebelum ini menuduh Darurat gagal dalam menyekat penularan Covid-19, namun selepas ia dibatalkan adakah Covid-19 tidak menular dan kes semakin turun?

Covid-19 tidak akan hilang dengan serta-merta kerana penawar untuk mencegahnya berjangkit masih belum ditemui, vaksin sekadar berfungsi memberi imunisasi untuk melawan virus tersebut tetapi tidak akan menyebabkannya merebak.

Dengan kemunculan varian baharu, penularan Covid-19 tidak dapat dihentikan dan seperti dijangkakan ia masih merebak sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan langkah melaksanakan Darurat sebelum ini tidak dapat menghapuskan Covid-19 hilang daripada muka bumi tetapi ia sekurang-kurang dapat memperlahankan kadar jangkitan dan memastikan vaksin dapat diberikan dengan cepat kepada orang ramai.

Hanya kerana cita-cita hendak menjadi Perdana Menteri dan peribadi, rakyat dijadikan bahan kajian dan pemimpin politik tidak kisah dengan kesempitan dan kesengsaraan hidup rakyat, tetapi yang lebih mereka pentingkan adalah bagaimana untuk merampas kuasa dan terus berkuasa.

Anwar dan pembangkang membantah pilihan raya diadakan tetapi tidak pasti sama ada beliau sedar atau tidak bahawa tiada mekanisme dalam peruntukan Perlembagaan untuk menangguhkan pilihan raya berlangsung selain dengan langkah Darurat.

Sia-sia serta sudah terlambat untuk Anwar dan pembangkang membantah pilihan raya diadakan kerana ia tidak akan memberi kesan apa-apa memandangkan tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang boleh menghalang ia daripada dijalankan.

Pembangkang perlu sedar, langkah bersekongkol dengan kerajaan yang dipimpin UMNO hanya akan membunuh diri mereka sendiri dan lihat apa yang berlaku sekarang ini, penyokong sendiri pun sudah hilang kepercayaan terhadap mereka dan buktinya kekalahan memalukan dua PRN di Melaka dan Sarawak adalah gambaran sebenar rakyat menolak mereka.

Menjelang PRN Johor, rakyat sekali lagi terpaksa menggadaikan nyawa dan mengambil risiko apabila perlu turun untuk mengundi ekoran tindakan kerajaan dipimpin Menteri Besar UMNO yang sengaja membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan PRN diadakan.

Jika rakyat tidak mahu melihat satu lagi pilihan raya diadakan selepas ini, mereka perlu mencari jalan untuk menghentikannya. Kuasa kini ditangan anda dengan satu kertas pada PRN Johor nanti.

Pengundi perlu memilih parti politik yang tidak menyusahkan mereka, jika tidak mungkin mereka merancang mahu mengadakan satu lagi pilihan raya yang lebih besar dan perlu menghentikan kegilaan ahli politik dengan memilih pemimpin yang benar-benar tidak gilakan kuasa dan tamak haloba.

Contoh pemimpin dan parti politik yang gila kuasa dan tamak sudah ada di depan mata, keputusan kini di tangan pengundi untuk menentukan masa depan mereka sama ada kekal diperbodohkan atau menjadi lebih bijak untuk mengajar ahli politik.

BERITA BERKAIT
POPULAR