
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Kadar pengangguran pada Mei tahun ini terus menurun dengan pengurangan sebanyak 1.8 peratus kepada 637,700 orang, daripada 649,300 orang pada bulan sebelumnya, menurut Statistik Tenaga Buruh bagi Mei 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata situasi tenaga buruh pada Mei kekal berdaya tahan dengan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan dalam bilangan tenaga buruh dengan kenaikan 0.2 peratus kepada 16.54 juta orang, daripada 16.5 juta orang pada April.
“Seterusnya, kadar penyertaan tenaga buruh pada Mei 2022 meningkat sedikit kepada 69.5 peratus, daripada 69.4 peratus bulan sebelumnya. Keadaan ini didorong oleh pertumbuhan pekerjaan yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini menurut Bernama.
Beliau berkata penduduk bekerja menunjukkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.3 peratus untuk merekodkan 15.90 juta orang pada Mei berbanding 15.85 juta orang pada April.
Mohd Uzir berkata komposisi terbesar penduduk bekerja adalah kategori pekerja dengan 76.2 peratus, dan kategori itu meningkat 0.2 peratus kepada 12.11 juta orang berbanding 12.09 juta orang bulan sebelumnya.
Katanya penduduk bekerja sendiri pula bertambah sebanyak 0.7 peratus kepada 2.74 juta orang pada Mei, berbanding 2.72 juta orang pada bulan sebelumnya.
“Aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada bulan Mei mendorong kepada lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan, justeru memberi lebih banyak peluang kepada perniagaan bagi menjana semula pendapatan mereka,” katanya.
Dalam sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mengekalkan trend positif terutama dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan makanan dan minuman.