
Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 catat penurunan.
Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 di negara ini terus merekodkan penurunan apabila mencatatkan 0.91 pada Ahad.
Menerusi data yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dalam akaun Twitternya menunjukkan, kadar kebolehjangkitan itu menurun daripada 1.16 pada 29 Mei lalu kepada 1.12, keesokan harinya.
Perangkaan itu terus berkurang saban hari hingga mencecah paras terendah, iaitu 0.9 kelmarin, sebelum ia meningkat sedikit kepada 0.91 semalam.
Penurunan kadar kebolehjangkitan ini hasil susulan pelaksanaan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun lalu.
Selain itu, langkah diambil kerajaan dalam mempercepatkan proses vaksinasi ke seluruh negara juga dilihat memberikan kesan secara tidak langsung terhadap penurunan kadar kebolehjangkitan.
Jika dibandingkan dengan Rt berkadar 0.91 di seluruh negara, beberapa negeri dilihat masih mencatatkan kadar lebih tinggi seperti di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 1.12, Sabah (1.1), Negeri Sembilan (1.03), Sarawak (1), Wilayah Persekuan Kuala Lumpur (0.99), Johor (0.97), Selangor (0.96), Melaka (0.94), Perak (0.93) dan Pulau Pinang (0.92).
Negeri seperti Perlis pula mencatatkan Rt terendah dan di bawah paras kebangsaan iaitu 0.78, selain Kelantan (0.79), Kedah (0.83), Pahang (0.87) dan Terengganu (0.83).
Terdahulu, jangkitan Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu sehingga 12 tengahari tadi turun di bawah 5,000 apabila kes positif baharu harian merekodkan 4,949 kes.