
Sesetengah daripada aspek GST memberikan impak negatif terhadap kumpulan berpendapatan rendah.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sekiranya akan diperkenalkan semula, mesti lebih tinggi daripada kadar yang ada sekarang.
Menurutnya ada negara yang mengenakan kadar yang tinggi kerana membuat pengecualian yang banyak, contohnya Arab Saudi yang mengenakan 15 peratus kerana hasil pendapatan tinggi dengan harga minyak.
“Kena ada kajian kadar yang adil untuk kutip hasil bagi pembangunan negara, pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dan peniaga,” katanya menurut Bernama.
Katanya kajian sekarang adalah di peringkat libat urus, kerana salah satu isu adalah sama ada kadar 3 hingga 4 peratus atau 7 hingga 8 peratus.
“Selain melihat alternatif untuk memperbaiki Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, kerana ia mempunyai ‘inefficient’ yang menyebabkan banyak negara beralih kepada sistem GST.
Ditanya kadar GST yang bersesuaian, Tengku Zafrul berkata “apa jua kadarnya, kutipan itu mestilah lebih tinggi daripada apa yang didapati hari ini.”
GST diperkenalkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak 2014 lalu bagaimanapun digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh Pakatan Harapan yang memerintah negara selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu.
Sejak kebelakangan ini, Najib mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan semula GST.
GST ialah cukai penggunaan ataupun ‘consumption tax’ bermaksud lebih tinggi perbelanjaan seseorang, lebih tinggi jumlah bayaran cukai berkenaan.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul bagaimanapun berkata kerajaan masih mengkaji semua sistem percukaian termasuk GST jika ia wajar dilaksanakan semula.
Menurutnya 175 negara telah memperkenalkan GST – salah satu sebab ialah hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara – kerana tanpa GST maka hasil agak rendah.
Beliau berkata proses melaksanakan semula GST mengambil masa yang lama, kerana undang-undang GST sebelum ini telah dimansuhkan.
“Kalau kajian menunjukkan GST faedah adalah jelas, kita akan bawa ke Kabinet. Keputusan muktamad bukan pada kerajaan tetapi Parlimen,” katanya.
Tengku Zafrul berkata pelaksanaan semula GST paling cepat adalah lebih kurang sembilan bulan selepas ia diluluskan oleh Parlimen.