
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok telah diluluskan oleh Kabinet semalam, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dibahaskan dalam sesi akan datang, yang bermula Isnin depan.
Dalam jawapan ringkas kepada media, Khairy berkata:
“Rang undang-undang tembakau telah diluluskan oleh Kabinet semalam.
“Kami akan mengemukakannya kepada Parlimen untuk sesi ini.”
RUU yang dicadangkan itu mengandungi klausa untuk melarang penjualan rokok, tembakau dan produk vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.
Peniaga dan penjual rokok tidak akan dibenarkan menjual produk berkenaan kepada individu yang dilindungi larangan itu.
Khairy sebelum ini berkata cadangan larangan merokok generasi berkenaan adalah langkah seterusnya ke arah mengurangkan kes kanser dan meningkatkan akses rawatan kanser di negara ini.
Beliau juga berkata sebaik sahaja undang-undang itu diluluskan, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang menggubal undang-undang berkaitan larangan bagi generasi itu.
Beliau berkata jika tiada apa-apa tindakan dilakukan untuk mengatasi masalah merokok di negara ini, tabiat itu akan menelan belanja RM8 bilion wang kerajaan untuk merawat kanser paru-paru, masalah jantung dan penyakit paru-paru obstruktif kronik menjelang 2030.