
Ahli Perniagaan, Deepak Jaikishan menafikan menghubungi Ahli Parlimen penyokong kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Perang mulut antara Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Deepak Jaikishan berterusan, apabila Ahli Parlimen Barisan Nasional Ayer Hitam itu, mencabar ahli perniagaan berkenaan membuat laporan polis menafikan menghubunginya semalam.
Ka Siong berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia telekomunikasi dalam sebarang siasatan berhubung perkara itu.
“Jika Deepak Jaikishan rasa seseorang menyamar menjadi dirinya untuk menelefon saya, beliau patut buat laporan polis,” kata Wee menurut laporan FMT.
Wee memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada individu bernama “Deepak” menuntut beliau menjelaskan kenyataan awal yang dibuatnya berhubung pengimportan telur dari India.
Wee mendakwa, penjelasan itu diperlukan bagi mengelak saman yang akan dikemukakan terhadapnya.
Pada sidang media pagi tadi (16 Mac 2023), Wee mendedahkan bahawa panggilan telefon itu diterima daripada nombor telefon bimbit 019-99****9.
“Apabila saya menyemak dengan aplikasi Truecaller, nombor itu didapati milik seseorang bernama Deepak J Tekwani,” tambahnya.
Wee berkata, beliau bercakap dengan pemanggil itu dua kali, dengan panggilan pertama berlangsung selama 33 saat dan panggilan kedua selama tujuh minit.
Wee, yang berulang kali mengetengahkan isu berkaitan telur yang diimport dari India, turut memberitahu Parlimen semalam bahawa pemanggil itu mendakwa dirinya wakil J&E Advance Tech Sdn Bhd, pengimport tunggal telur dari India.
Sementara itu, Deepak, ahli perniagaan yang sebelum ini dikaitkan dengan syarikat itu oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional Azmin Ali, semalam menafikan menelefon Wee.
Syarikat itu kemudiannya menafikan kaitannya dengan Deepak dan mengancam untuk menyaman bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.