Jutawan rakan baik Anwar beli saham rangkaian hotel terkait Zahid

Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Datuk Vinod B. Sekhar, pemilik The Vibes dan juga penaung Yayasan Sekhar.

Pemilik syarikat Petra Group yang rapat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melengkapkan pembelian 51.5% saham Riyaz Hotels & Resorts, rangkaian hotel yang terkait dalam perbicaraan kes Yayasan Akalbudi yang dimiliki Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas lengkap pembelian saham majoriti itu, rangkaian hotel tersebut diletak bawah entiti Petra Riyaz yang akan beroperasi sebagai sebuah “jenama hotel yang berorientasikan gaya hidup” di Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Petro Group dimiliki Vinod Sekhar mengumumkan pembelian tersebut, langkah yang jarang berlaku memandangkan industri pelancongan dan perhotelan terjejas teruk semasa penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Menurut laporan MalaysiaNow, rantaian perhotelan Riyaz menjadi subjek dalam perbicaraan rasuah melibatkan Zahid yang kini berdepan 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi.

Portal tersebut juga mendedahkan pada 2016, Zahid yang sewaktu itu memegang jawatan Menteri Dalam Negeri terlibat dalam rundingan yang diatur anak perempuannya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid bagi membincangkan jualan 60% pegangan dalam rantaian perhotelan tersebut.

Memberikan pernyataan dalam perbicaraan Zahid tahun lalu, Pengarah Urusan Ri-Yaz Group Datuk Seri Shaheen Shah Sidek yang kini merupakan CEO of Petra Riyaz, berkata pengerusi kumpulan syarikat itu Tan Sri Abdul Rashid Manaf mencadangkan untuk menjual pegangannya bagi menyelamatkan syarikat tersebut, sebuah rundingan yang turut membabitkan pengambil alihan pinjaman bank Rashid oleh Nurulhidayah dan lelaki itu sebagai penjamin.

Shaheen berkata susulan pertemuan dengan bank di pejabat Zahid di pejabatnya, di Putrajaya, Nurulhidayah memaklumkan kepadanya beliau akan membayar tunggakan pinjaman berjumlah RM8.66 juta melalui peguam-peguamnya.

Bank juga kemudiannya bersetuju untuk menstruktur semula pinjaman tersebut namun ia kemudian menemui jalan buntu apabila Rashid menolak untuk kekal menjadi penjamin bagi pinjaman tersebut seperti yang ditetapkan pihak bank.

Shaheen memberitahu kamar mahkamah mengenai beberapa permintaan daripada Nurulhidayah dan bapanya Zahid supaya RM8.6 juta itu dikembalikan kerana ia adalah milik yayasan.

Shaheen berkata beliau terkejut dengan permintaan tersebut dan turut menambah dirinya tidak mengetahui wang tersebut adalah daripada yayasan.

Peguam Zahid memberitahu mahkamah wang tersebut adalah pelaburan mewakili yayasan tersebut, dan rundingan tersebut gagal selepas pembelian dirasakan tidak memberikan keuntungan.

Terdahulu, mahkamah turut diberitahu pembelian pegangan saham itu juga dibuat tanpa pengetahuan lembaga pemegang amanah yayasan.

Muhammad Fazli Zulkifli, seorang penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut berkata beliau yakin keputusan untuk menggunakan RM8.6 juta dari dana yayasan itu adalah kerana anak perempuan Zahid memiliki kepentingan.

“Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid, dia kata Yayasan Akalbudi yang berminat buat pelaburan dalam bidang perhotelan tetapi daripada saksi-saksi lain memberitahu Datuk Nurul Hidayah yang minat buat pelaburan dan bayaran dibuat oleh Yayasan Akalbudi,” kata Fazli dalam perbicaraan tahun lalu.

Pada 2019, Zulkifli Senteri, salah seorang pemegang amanah dan bekas pengarah Yayasan Akalbudi, berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang mesyuarat, atau aktiviti dan kenyataan kewangan selain perbelanjaan yayasan tersebut sepanjang 15 tahun beliau di dalam lembaga yayasan.

POPULAR