
Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara 64 tahun ke atas seorang juruteknik kerana menculik dan merogol pelajar 13 tahun.
Seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan dikenakan lapan kali sebatan kerana menculik dan merogol pelajar berusia 13 tahun.
Mahkamah Sesyen Melaka membuat keputusan demikian setelah lelaki terbabit mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, hari ini (28 Julai).
Tertuduh, bapa kepada dua anak, menghadapi empat pertuduhan menculik remaja itu dari sekolahnya di Klang, Selangor, dan merogolnya.
Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut dikenakan empat pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang juga membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Memetik laporan The Star kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bachang dalam daerah Melaka Tengah pada 16 dan 17 Jun tahun ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah menculik pelajar Tingkatan Satu itu dari sekolahnya di Klang dan ibunya kemudian diberitahu oleh pemandu bas sekolah bahawa anak perempuannya telah hilang.
Seorang rakan mangsa telah tampil untuk memberitahu ibunya bahawa dia telah melihat seorang lelaki membawa anak perempuannya untuk menaiki keretanya.
Pada 18 Jun, mangsa pulang dan memberitahu ibunya bahawa dia dirogol antara 10 malam pada 16 Jun dan 10 malam pada 17 Jun.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah untuk hukuman yang lebih ringan, dengan mendakwa bahawa dia telah menyesal melakukan kesalahan itu.
Mahkamah memerintahkan hukuman mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan berjalan berturut-turut manakala hukuman mengikut Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berjalan serentak mulai tarikh penahanan tertuduh pada 25 Jun lalu.