Jurulatih selaman ditemui selamat

Jurulatih selaman warga Norway, Kristen Grodem, 35, yang dilaporkan hilang bersama tiga penyelam lain di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, semalam, ditemukan selamat hari ini.

Bagaimanapun, nasib ketiga-tiga ahli selaman lain, Alexia Alexandra, 18, warganegara Perancis; Adrian Peter, 46, (British) dan anaknya, Nathen Renze, 14, (Belanda), belum diketahui.

Grodem, tiba di Stadium Mersing, kira-kira jam 12.05 tengah hari tadi menaiki helikopter Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mangsa berada dalam keadaan baik selain mampu berjalan kaki ketika tiba ke padang stadium berkenaan.

Jurulatih selaman itu kemudian dibawa menaiki ambulansuntuk menerima rawatan lanjut di Hospital Mersing.

Sementara itu Bernama melaporkan tekong bot yang membawa empat penyelam ditahan polis setelah disahkan positif dadah.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu pada mulanya dipanggil untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, ujian air kencing menunjukkan individu itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Kami sudah buat ujian saringan air kencing dan didapati dia positif dadah. Dia akan ditahan sehingga siasatan selesai,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, hari ini.

Kamarul Zaman berkata individu itu yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Mersing, kira-kira jam 11.30 malam tadi, disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

Ketika ditanya sama ada terdapat unsur kecuaian dalam kes kehilangan penyelam warga asing itu, Kamarul Zaman berkata pihaknya kini sedang meneliti semua aspek.

“Kami akan menyiasat dari segi kelengkapan peralatan menyelam mereka dan juga tempat pusat selam skuba dan sebagainya. Kami akan siasat dan pasukan forensik akan sampai untuk membuat siasatan. Kalau ada sesuatu yang berlaku, kalau ada salah laku dan sebagainya pun, kami akan buat siasatan jugak,” katanya.

Pencarian yang masuk hari kedua, meliputi kawasan seluas 107 batu nautika radius.

Pada operasi itu, seramai 90 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk 30 penyelam berserta 18 bot dan dua helikopter telah digerakkan.

BERITA BERKAIT
POPULAR