Jumlah pesakit sembuh harian melepasi 6,300 hari ini

Data 23 Jun 2021

Jumlah kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat sedikit kepada 83 kes, berbanding 77 kes yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor mencatat kes kematian tertinggi dengan 35 kes berbanding 32 yang direkodkan semalam.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 6,372 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 645,553 atau 90.8 peratus.

Terdahulu beliau memaklumkan dalam tempoh sama 5,244 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dengan tujuh daripadanya adalah kes import membabitkan empat warga negara dan tiga bukan warganegara.

“Sebanyak 60,816 kes masih aktif. Sebanyak 879 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 433 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lalu juga 24 kluster lagi dikesan menjadikan jumlahnya sehingga kini kepada 2,690.

“Daripada jumlah itu 1,839 kluster telah ditamatkan dan 851 masih aktif,” katanya.

Daripada jumlah kluster yang dikesan hari ini, 15 membabitkan tempat kerja, komuniti (tujuh), dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

Selangor merekodkan lapan kluster baharu tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi dengan 305 jangkitan positif.

Ini diikuti Sarawak (empat – komuniti); masing-masing tiga kluster tempat kerja dan komuniti di Kuala Lumpur dan Melaka; Pulau Pinang (dua – tempat kerja); dan masing-masing satu di Johor, Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan (tempat kerja, komuniti dan pusat tahanan).

POPULAR