[KEMAS KINI] Jumlah pesakit sembuh hari ini paling ramai

Jumlah pesakit yang sembuh daripada jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi adalah yang tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak itu mula menular di Malaysia awal tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 19,680 pesakit disahkan sembuh dalam tempoh itu menjadikan kumulatif kepada 1,198,726 kes berbanding 1,466,512 kes positif yang dicatatkan dalam tempoh itu.

Ini adalah angka kes sembuh tertinggi dalam tempoh 24 jam, katanya.

Sementara itu beliau juga memaklumkan 225 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh itu, turun berbanding 293 kes yang dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan kematian berjumlah 13,302 kes.

Jumlah kematian itu termasuk 27 yang membabitkan bukan warganegara Malaysia, manakala sebanyak 35 kes kematian sebelum dibawa ke hospital (BID) turut dilaporkan.

“Sebanyak 254,484 kes masih aktif dengan 1,060 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dan 540 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Dr Noor Hisham memaklumkan daripada 22,242 jangkitan baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam itu, 3,998 atau 18 peratus membabitkan bukan warganegara Malaysia.

“Daripada 22,242 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 430 kes atau 1.9 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 21,812 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, 18,631 kes atau 83.8 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya.

Data kes kematian mengikut negeri 18 Ogos 2021.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, beliau berkata, berdasarkan data terkini pada 17 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.04 dengan Perlis mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu sebanyak 1.29.

Ini diikuti oleh Sarawak (nilai RT 1.19), dan Sabah (nilai RT 1.17). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Negeri Sembilan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 49 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam itu dengan 30 daripadanya adalah kluster tempat kerja, komuniti (13), kumpulan berisiko tinggi (lima) dan satu kluster pusat tahanan yang dikesan di Pontian, Johor membabitkan 26 individu.

Selangor merekodkan lapan jangkitan di tempat kerja dengan kes terbanyak membabitkan Kluster Tapak Bina Jalan Warisan di Sepang yang melibatkan 216 individu dan Kluster Industri Perusahaan Cheras Jaya (142 individu).

Pulau Pinag pula merekodkan enam kluster tempat kerja dengan Kluster Industri Zon Dagang Satu 2 di Seberang Perai membabitkan paling banyak kes iaitu 221 individu.

Johor merekodkan lima kluster tempat kerja diikuti masing-masing tiga di Sarawak dan Kelantan, dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sabah, Perak, Pahang dan Melaka.

Sementara itu, enam kluster komuniti dikesan di Kelantan, diikuti masing-masing dua di Johor dan Perak, dan masing-masing satu di Kedah, Selangor dan Pahang.

Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Kelantan turut merekodkan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

BERITA BERKAIT
POPULAR