Jumlah penerima vaksin lepasi 17 juta hari ini

Jumlah keseluruhan penerima vaksin Covid-19 di seluruh negara bakal mencecah lebih 17 juta orang hari ini, berdasarkan angka purata pemberian suntikan harian sehingga semalam.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula Februari hingga semalam, 16,904,896 suntikan telah diberikan membabitkan 11,507,070 penerima dos pertama dan 5,397,826 individu yang melengkapkan dos kedua.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata semalam sahaja sebanyak 417,738 individu di seluruh negara menerima suntikan dos pertama dan kedua.

Katanya daripada jumlah itu 284,672 individu menerima suntikan dos pertama manakala 133,066 penerima menamatkan dos kedua.

“Selangor merekodkan jumlah pemberian dos tertinggi iaitu sebanyak 113,081 membabitkan 84,328 penerima dos pertama dan 28,753 menerima dos kedua,” katanya hari ini.

Negeri lain yang mencatatkan jumlah tertinggi ialah Kuala Lumpur dengan 45,730 dos pertama dan 26,393 dos kedua; Sarawak (17,265 dos pertama dan 27,846 dos kedua); Johor (28,724 dos pertama dan 2,231 dos kedua); dan Perak (15,253 dos pertama dan 12,952 dos kedua).

Secara keseluruhan, negeri-negeri di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan jumlah tertinggi menerima suntikan vaksin Covid-19 iaitu 4,711,715 penerima dos pertama dan 1,597,181 dos kedua.

Data 24 Julai 2021

BERITA BERKAIT
POPULAR