Jumlah pemberian vaksin sudah melebihi 13.1 juta dos

Data 15 Julai 2021

Negara terus merekodkan jumlah pemberian vaksin harian tertinggi apabila semalam sahaja 460,158 dos suntikan diberikan menjadikan keseluruhan berjumlah 13,107,716 dos.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata semalam, sebanyak 304,807 suntikan diberikan kepada penerima dos pertama, manakala 155,351 individu melengkapkan dos kedua masing-masing.

Pemberian dos vaksin semalam adalah yang tertinggi direkodkan sejak program vaksinasi negara dilancarkan. Ia telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan sebelum ini.

Selangor kekal merekodkan jumlah pemberian dos tertinggi dengan 113,458 dos membabitkan 84,771 dos pertama dan 27,687 dos kedua, diikuti Sarawak dengan 73,814 dos (20,415 / 53,399); Kuala Lumpur sebanyak 72,231 (51,700 / 20,531); Johor 30,425 (23,425 / 7,000); dan 25,200 di Negeri Sembilan (18,573 / 6,627).

Sementara itu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa vaksin Covid-19 adalah percuma di Malaysia.

“Orang ramai diminta terus melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia sekiranya ada tawaran penjualan vaksin kepada mereka,” kata JKJAV dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, pada 14 Jun dan 22 Jun lalu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membuat laporan kepada polis susulan aduan orang ramai mengenai dakwaan penjualan vaksin berkenaan.

CITF juga memberi kerjasama kepada polis untuk menyegerakan siasatan dakwaan penyelewengan itu dan difahamkan beberapa tangkapan telah dilakukan.

Pemberian suntikan vaksin adalah dilaksanakan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

CITF juga menegaskan bahawa tiada kelulusan telah dikeluarkan oleh JKJAV kepada mana-mana pihak untuk tujuan penjualan vaksin Covid-19.

POPULAR