
Data 12 Ogos 2021
Jumlah pemberian vaksin harian di seluruh negara kembali melepasi angka 500,000 dos suntikan semalam, sekali gus mempercepatkan lagi usaha mencapai imuniti kelompok dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19.
Menerusi data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini, semalam sahaja 525,342 dos vaksin diberikan membabitkan 197,962 penerima dos pertama dan 327,380 penerima melengkapkan dos kedua masing-masing.
Daripada jumlah itu Selangor merekodkan pemberian tertinggi dengan 112,858 dos membabitkan 22,166 dos pertama dan 90,692 dos kedua.
Dua lagi negeri yang merekodkan pemberian vaksin tertinggi semalam ialah Johor sebanyak 68,201 dos membabitkan 36,996 dos pertama dan 31,205 dos kedua; diikuti Kuala Lumpur dengan 60,097 dos (7,331 dos pertama dan 52,765 dos kedua).
Secara keseluruhan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan Februari lalu sehingga semalam, lebih 26.38 juta dos suntikan telah diberikan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu 16,545,384 atau 70.7 peratus daripada populasi dewasa Malaysia menerima dos pertama dan 9,843,521 atau 42.0 peratus lagi dos kedua.