[KEMAS KINI] Jumlah kes sembuh naik, 424 kes varian Delta dikesan

Jumlah kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi kembali meningkat kepada 16,258 kes menjadikan kumulatif 1,057,843 pesakit sembuh berbanding 1,299,767 kes positif sejak Mac tahun lalu.

Pada masa sama sebanyak 424 kes varian Delta dan 14 kes Alpha turut dikesan sejak kedua-dua varian itu mula menular.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu juga jumlah pesakit yang meninggal dunia turut turun kepada 201 berbanding 212 kematian yang dilaporkan semalam.

Daripada jumlah itu 38 kematian membabitkan bukan warganegara. Selain itu sebanyak 34 kes kematian sebelum dibawa ke hospital (BID) turut dilaporkan dalam tempoh itu yang melibatkan 13 warganegara dan 21 bukan warganegara Malaysia.

Angka itu menjadikan keseluruhan kes kematian sejak wabak Covid-19 melanda negara kepada 11,162 kes.

Beliau berkata 230,762 kes masih aktif, sementara 1,096 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 570 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdahulu Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah jangkitan baharu di seluruh negara dalam tempoh 24 jam itu tadi naik semula kepada 19,991 kes – tertinggi dalam tempoh tiga hari lalu. Jumlah itu termasuk 3,428 kes membabitkan bukan warganegara Malaysia.

Semalam sebanyak 17,236 kes direkodkan, berbanding 19,257 kes pada Sabtu dan 18,688 kes pada Ahad.

Daripada 19,991 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 385 kes atau 1.9 peratus terdiri daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 19,606 kes (98.1 peratus) lagi adalah kategori 1 dan 2.

“Secara keseluruhan, hanya 4,632 kes atau 23.2 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, beliau berkata, berdasarkan data terkini pada 9 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.06.
Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.33) diikuti oleh Kelantan (nilai RT 1.24), dan Terengganu (nilai RT 1.18). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 29 lagi kluster baharu yang membabitkan 1,029 pesakit dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Daripada jumlah itu 17 kluster membabitkan jangkitan di tempat kerja dengan 703 kes; lapan kluster komuniti (212 kes); tiga kumpulan berisiko tinggi (90 kes); dan satu kluster keagamaan yang melibatkan 24 kes.

Daripada keseluruhan kluster itu, Selangor dan Kelantan masing-masing mencatatkan enam kluster; masing-masing empat di Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak; Pahang (tiga); dan masing-masing satu di Melaka dan Sabah.

Sejak wabak Covid-19 mula melanda negara tahun lalu sebanyak 4,003 kluster dikesan dengan 2,765 telah ditamatkan dan 1,238 lagi masih aktif.

Dalam perkembangan terbaharu mengenai mutasi spike protein Covid-19 di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenal pasti sebanyak 47 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC)

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 667 kes.

Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 647 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

“Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 209 kes varian Beta, 424 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR