[KEMAS KINI] Jumlah kes aktif mulai turun, kematian meningkat

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 311 pesakit Covid-19 di seluruh negara meninggal dunia, meningkat berbanding 272 kes kematian yang dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka terbaharu itu turut membabitkan 41 warganegara asing, menjadikan kumulatif sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini awal tahun lalu kepada 18,802 kes.

Daripada jumlah kematian terbaharu itu, 93 pesakit, termasuk 25 warganegara asing, meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID).

Mengikut data KKM, tujuh negeri merekodkan peningkatan kes kematian membabitkan Sabah sebanyak 45 kes; Kedah (43 kes); Pulau Pinang (34 kes); Perak (20 kes); Kelantan (14 kes); Terengganu (12 kes); dan Melaka (10 kes).

Beliau berkata dalam tempoh sama 18,902 pesakit disahkan sembuh menjadikan keseluruhannya 1,609,930 kes sembuh, berbanding 1,880,734 kes positif yang dicatatkan setakat ini.

Sehingga hari ini seramai 977 pesakit yang disahkan dijangkiti Covid-19 masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 447 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah pesakit yang dirawat di ICU dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan, tetapi disyaki dijangkiti Covid-19 serta masih di dalam siasatan adalah sebanyak 629 kes.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 252,002 kes Covid-19 masih aktif – jumlah yang semakin berkurangan berbanding 252,668 kes yang direkodkan semalam.

Data 7 September 2021.

Terdahulu beliau memaklumkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat sedikit kepada 18,547 kes, berbanding tempoh sama semalam sebanyak 17,352 kes. Jumlah ini termasuk 2,276 warganegara asing.

“Daripada 18,547 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 308 kes atau 1.66 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 18,239 kes (98.34 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk,” katanya.

Menurutnya secara keseluruhan sehingga 7 September 2021, daripada 1,880,734 kes positif Covid-19, 1,721,274 kes atau 91.5 peratus adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

“Jumlah itu membabitkan 1,441,205 kes atau 76.6 peratus adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi dan 280,069 kes (14.9 peratus) adalah mereka yang tidak lengkap divaksinasi; dan hanya 159,460 kes (8.5 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 39 kluster baharu membabitkan 1,358 kes, dilaporkan dalam tempoh 24 jam itu menjadikan keseluruhannya 4,960 kluster dengan 3,495 telah ditamatkan dan 1,465 lagi masih aktif.

Beliau berkata daripada jumlah kluster baharu itu 23 membabitkan tempat kerja dengan 897 kes; Komuniti (13 kluster, 430 kes); dan masing-masing satu kluster pusat tahanan (9 kes); kumpulan berisiko tinggi (12 kes); dan pendidikan (10 kes).

Menurutnya, Johor merekodkan sembilan kluster; masing-masing lima kluster di Sarawak dan Pahang; masing-masing empat di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan; Kedah (tiga); Melaka (dua); dan masing-masing satu di Perak, Kuala Lumpur, dan Terengganu.

BERITA BERKAIT
POPULAR