Jumlah kematian tertinggi direkod hari ini

Jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi mencatatkan sebanyak 138 kes, termasuk 10 bukan rakyat Malaysia, menjadikan keseluruhannya 6,866 kes kematian sejak awal tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor terus merekodkan kes kematian tertinggi dengan 46 diikuti Negeri Sembilan (20 kes) dan masing-masing 16 kes di Kuala Lumpur dan Johor.

Beliau berkata seramai 6,629 pesakit juga disahkan sembuh menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 779,171

Jumlah kes aktif kini naik kepada 119,814. Seramai 908 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi, dan 425 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu beliau melaporkan 12,528 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam yang membabitkan 6,840 kes Kategori 1 yang tidak bergejala; Kategori 2 banyak 5,468 (gejala ringan); Kategori 3 (rasang paru-paru – 112 kes); Kategori 4 (memerlukan oksigen – 44 kes); dan Kategori 5 (kritikal memerlukan alat bantuan pernafasan – 64 kes).

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lalu 28 lagi kluster dikesan membabitkan 19 jangkitan di tempat kerja, komuniti (enam), kumpulan berisiko teinggi (dua) dan pendidikan (satu).

Empat kluster tempat kerja masing-masing dikesan di Johor dan Pulau Pinang, masing-masing tiga di Selangor, Kuala Lumpur, dan Melaka dan Negeri Sembilan (dua).

Kelantan merekodkan tiga kluster komuniti, manakala masing-masing satu di Pahang, Sabah dan Sarawak. Dua kluster kumpulan berisiko tinggi dikesan di Selangor dan Melaka, manakala Pulau Pinang merekodkan satu kluster pendidikan.

Beliau juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan di mana sehingga 16 Julai nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.19.

“Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu sebanyak 1.31,” katanya.

Negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Terengganu (RT 1.25), Negeri Sembilan (RT 1.21), Kedah (RT 1.20), Selangor (RT 1.19), Melaka (RT 1.18), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RT 1.17), Pulau Pinang (RT 1.14), Kelantan (RT 1.11), Pahang (RT 1.10), Perak (RT 1.10), Sabah (RT 1.09), dan Johor (RT 1.08).

BERITA BERKAIT
POPULAR