Jumlah kematian melonjak 63 kes

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam melonjak semula hampir tiga kali ganda, berbanding 24 kes pada Ahad, menurut laporan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Berdasarkan catatan laman sesawang Covidnow KKM, 63 kematian direkodkan semalam, termasuk 13 pesakit yang meninggal dunia dan dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah baharu itu menjadikan kumulatif kematian sebanyak 30,063 kes, termasuk 6,077 kes BID.

Berdasarkan data dikeluarkan KKM sehingga semalam sebanyak 67.3 peratus daripada pesakit yang meninggal dunia itu tidak menerima vaksin Covid-19, 20.4 peratus lagi belum melengkapkan vaksinasi, sementara 12.3 peratus pula adalah individu yang lengkap divaksinasi.

Daripada keseluruhan kematian itu juga 87.1 peratus membabitkan warganegara Malaysia, manakala 12.9 peratus adalah rakyat asing. Individu lelaki menjadi jumlah teramai yang meninggal dunia iaitu sebanyak 56.9 peratus, manakala selebihnya adalah wanita.

Daripada jumlah kematian yang dilaporkan semalam, Selangor mencatat kes tertinggi dengan 14 pesakit meninggal dunia, berbanding sifar kes semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 9,740 kes.

Selangor juga merekodkan peningkatan kes aktif iaitu sebanyak 18,329 berbanding 18,210 kes pada Ahad, termasuk 15,947 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,219 ditempatkan di PKRC; 1,076 dimasukkan ke hospital; dan 87 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 53 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan kumulatif positif sebanyak 741,245 kes dengan 714,718 pesakit disahkan sembuh.

KKM juga melaporkan, Johor merekodkan 11 kematian semalam; diikuti Sabah (sembilan); masing-masing tujuh kes di Perak dan Terengganu; dan masing-masing empat di Kedah serta Kuala Lumpur.

Kelantan dan Sarawak pula masing-masing merekodkan dua kes kematian; manakala satu kes masing-masing di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Tiada kes kematian dilaporkan di Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Taburan kes kematian mengikut kumpulan umur.Sementara itu, jumlah kes aktif di seluruh negara turun lagi daripada 68,790 yang direkodkan pada Ahad kepada 67,986 semalam.

Daripada jumlah itu, 54,359 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 7,488 ditempatkan di PKRC; 5,590 dimasukkan ke hospital; dan 549 dirawat di ICU, termasuk 274 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,591,486 kumulatif kes positif, dengan 2,493,437 pesakit telah sembuh.

Empat negeri mencatat kumulatif kes positif melebihi 200,000 iaitu Selangor dengan 741,245 kes; diikuti Sarawak (249,197 kes); Sabah (229,366 kes); dan Johor (227,704 kes).

Enam negeri pula merekodkan kumulatif kes positif melebihi 100,000 iaitu Kuala Lumpur sebanyak 197,844 kes; Kedah (156,620 kes); Kelantan (152,393 kes); Pulau Pinang (150,878 kes); Perak (121,053 kes); dan Negeri Sembilan (106,958 kes).

BERITA BERKAIT
POPULAR