Jumlah kematian, kluster turun

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun lebih 20 kes berbanding semalam apabila hari ini merekodkan 60 kematian, termasuk lapan bukan warganegara.

Bagaimanapun, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kekal mencatatkan kematian tertinggi iaitu 20 dan 16 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu 4,777 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 667,709, sementara 61,395 kes lagi masih aktif.

Terdahulu beliau memaklumkan negara merekodkan 5,586 kes baharu termasuk 3 kes import, dan 5,583 kes tempatan yang turut melibatkan jangkitan dalam kalangan 1,397 penduduk bukan warganegara.

“Sehingga kini 886 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 446 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh itu juga 17 lagi kluster dikesan dengan sembilan daripadanya adalah jangkitan di tempat kerja, komuniti (enam), dan masing-masing satu kluster pusat tahanan serta kumpulan berisiko tinggi.

Setakat ini katanya, 1,898 kluster ditamatkan manakala 874 lagi masih aktif.

Berdasarkan data yang dikeluarkan KKM hari ini, Selangor mencatatkan lima kluster baharu termasuk empat membabitkan tempat kerja dan satu kluster komuniti di Sepang yang melibatkan 100 kes positif.

Dua industri di Selangor iaitu kluster Kampung Sungai Bakau di Gombak paling ramai dijangkiti iaitu 134 pekerja, dan Industri Jalan Sungai Tua di Hulu Selangor (122 pekerja).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan empat kluster baharu tempat kerja membabitkan 156 kes positif Covid-19, diikuti Sabah (tiga – komuniti dan pusat tahanan); Kelantan (dua – komuniti); dan masing-masing satu kluster tempat kerja, komuniti dan kumpulan berisiko tinggi di Johor, Perak dan Sarawak.

Data 27 Jun 2021

Data 26 Jun 2021

BERITA BERKAIT
POPULAR